Shaiful Hazizy Cabar Mukhriz Buktikan Dakwaan Jadi Dalang


ALOR SETAR - Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyangkal keras dakwaan yang mengatakan beliau kononnya menjadi dalang di sebalik cabaran debat di antara Haris Che Mat dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tegas beliau, mungkin gara-gara ketandusan isu untuk mencetus kebencian rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri Kedah, propaganda itu sengaja disebar untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Tidak benar. Saya menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Mungkin kerana sudah tidak ada isu lagi untuk mereka memburukkan Kerajaan Negeri, maka mereka lemparkan tuduhan tersebut kepada saya dan Pejabat Menteri Besar.

"Jadi mereka cari mana-mana isu 'separuh masak' untuk dijadikan 'benar-benar masak' untuk sajian kepada rakyat," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy yang juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri berkata, beliau yakin tohmahan tidak berasas itu datangnya dari bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Justeru itu, beliau mencabar Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu supaya mengemukakan bukti kukuh terhadap dakwaan tersebut.

"Saya yakin yang tuduh saya begitu adalah Mukhriz. Dalam kenyataannya sebelum ini dia mengatakan antara yang terlibat (merencanakan debat) itu adalah seseorang di Pejabat Perdana Menteri dan saya di Pejabat Menteri Besar.

"Saya nafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Sama ada saya sendiri atau Pejabat Menteri Besar sama sekali tidak terlibat dengan debat tersebut.

"Jadi, saya cabar Mukhriz supaya kemukakan bukti yang mengatakan saya dan Menteri Besar terlibat dalam hal debat ini," katanya mencabar anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.


Shaiful Hazizy berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan sejurus selepas membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang semalam dianggap bertindak biadap merempuh masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) bersama sekumpulan individu.

Sebelum ini dikakatakan timbul desas-desus yang mendakwa kononnya Shaiful Hazizy merupakan salah seorang dalang di sebalik rencana debat di antara Mukhriz dengan bekas Pegawai Khas Politik beliau, Haris Che Mat.

Kepimpinan UMNO Bahagian Pokok Sena sebelum ini menegaskan bahawa debat di antara Haris dan Mukhriz itu hanyalah berkisar tentang pertikaian peribadi di antara bekas pegawai dengan bekas majikannya sahaja.

Meskipun langsung tidak membabitkan entiti parti, namun UMNO Bahagian Pokok Sena akan tetap memantau debat berkenaan sekiranya berlangsung bagi memastikan tiada tohmahan liar terpalit kepada parti berkenaan. - Kedahnews.com