Sistem JQTA Perkukuh Mutu Institusi Tahfiz Di Johor


JOHOR BAHRU – Sistem Jaminan Kualiti Tahfiz Johor (JQTA), yang telah diperkenalkan kerajaan negeri bagi mengawal mutu institusi tahfiz di Johor, dijangka diguna pakai oleh institusi tahfiz awam dan swasta mulai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata dengan adanya JQTA diharapkan sistem pendidikan pengajian tahfiz itu termasuk institusi tahfiz swasta akan lebih tersusun.

“Kewujudan JQTA ini maknanya terdapat banyak kandungan dari segi prosedur dan silibus serta peraturan yang boleh membantu maahad tahfiz swasta di negeri Johor.

“Mungkin kita boleh gabungkan dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis perasmian Multaqa Ulama’Darul Takzim kali kelima sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Sultan Johor 2017 di Persada Johor, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas bagaimana JQTA dapat membantu menambah baik pendidikan pengajian tahfiz terutamanya institusi swasta.

“Kita bantu tahfiz swasta ini dengan sediakan pelan kepada mereka. Kita nak mereka jadi feeder pengajian tahfiz supaya lebih tersusun lebih terarah sebab ramai pelajar keluar tahfiz tetapi kita tak tahu ke mana mereka pergi.

“Adakah mereka akan belajar ke institusi pengajian yang dapat pengiktirafan oleh kerajaan atau hanya dapat sijil tahfiz begitu sahaja tanpa diiktiraf. Jadi, kita susun program dan pematuhan JTQA ini jadi elok dan lebih berarah. Garis panduan dah ada cuma kita perlu endors di bawah Jawatankuasa Pendidikan Agama Negeri Johor,” kata beliau.

Justeru itu, pihaknya akan membawa JQTA ini pada Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Agama Islam Johor bulan depan bagi memastikan sistem itu dapat diguna pakai di seluruh maahad tahfiz awam dan swasta.

Bagaimanapun, sistem itu lebih tertumpu kepada bahagian pendidikan pengajian tahfiz dan bukannya pengurusan memandangkan pengurusan bagi tahfiz swasta masih di bawah institusi itu sendiri.

Menyentuh mengenai kes pelajar tahfiz Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, Abd Mutalip menyifatkan terdapat pengajaran apabila terjadi kes seperti ini supaya menjadi peringatan kepada institusi swasta supaya lebih berhati-hati dalam melantik tenaga pengajar yang lebih bertanggungjawab.

Beliau berkata seharusnya tenaga pengajar yang mengajar di Pusat Pengajian Tahfiz mestilah yang mempunyai tauliah dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

“Itu (pelantikan tenaga kerja) terpulang kepada mereka (institusi itu sendiri) contohnya, kena la cari mereka yang layak dari segi tu, kalau ada asrama carilah mereka yang ada kelayakan sebagai warden atau sebagainya,” kata beliau.

Menurutnya madrasah tahfiz tempat Allahyarham Mohamad Thaqif Amin belajar itu, masih meneruskan operasi seperti biasa.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata pihaknya bagaimanapun menyerahkan urusan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.

Mohamad Thaqif Amin, yang dipotong kedua belah kaki hingga paras peha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia pada pukul 2.05 petang semalam di Hospital Sultan Ismail, di sini.

Kisah pelajar tahfiz itu menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.

Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kemudian ditahan dan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA