BALING - "Pelaksanaan sistem parol akan diteruskan kerana ia mampu mengurangkan kes banduan berulang," kata Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.
Beliau berkata sejak dilaksanakan pada 2008, hanya sekitar 0.5 peratus daripada 16,558 banduan menjadi banduan berulang di mana keadaan itu jauh lebih baik daripada negara luar iaitu antara 30 hingga 65 peratus.
Menurutnya, jumlah ini juga rendah jika dibandingkan dengan banduan yang tidak melalui sistem parol yang mencatatkan 8.9 peratus banduan kembali menjadi penghuni penjara.
"Jika kita lihat dari sistem ini, ia menunjukan satu kejayaan kepada kita kerana hanya sebilangan kecil yang mengulangi kesalahan dan dimasukkan semula ke dalam penjara. Sebab itu kita akan teruskannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Temuseru dan Majlis Perasmian Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Baling/Sik di Kuala Ketil di sini semalam.
Zulkifli berkata faktor utama kejayaan sistem ini ialah banduan melalui empat tahap pemulihan iaitu orientasi, program sahsiah, kursus kemahiran dan program persediaan sebelum dibebaskan.
"Sistem parol menjadi lebih mudah dan berkesan apabila banduan-banduan dibentuk semula disiplin dan ego mereka, mendalami agama dan kerohanian, menjalani latihan kemahiran dan penerangan sebelum diberikan parol untuk menjalani kehidupan dalam masyarakat," kata Zulkifli .
Beliau berkata, parol bermaksud pelepasan seseorang banduan untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman pemenjaraan di luar penjara menurut sesuatu Perintah Parol yang dibuat oleh Lembaga Parol.
"Ia diberikan kepada banduan yang melakukan kesalahan ringan dan dijatuhi hukuman minimum setahun oleh mahkamah untuk diberi pengawasan oleh pegawai parol di sesuatu daerah.
"Melalui parol, banduan akan disediakan pekerjaan hasil kerjasama pihak penjara dengan syarikat-syarikat swasta supaya mereka tidak mudah terjebak kegiatan yang menyalahi undang-undang. Setakat ini 99 peratus bekas banduan berjaya mendapat pekerjaan.
"Sistem ini juga baik dilaksanakan kerana ia mampu mengatasi kesesakan di penjara seluruh negara di mana jumlahnya mencecah 60,000 orang berbanding kapasiti penjara sekitar 52,000 orang," katanya.
Beliau berkata di Kedah sebanyak 1,295 orang banduan yang diparol telah dibebaskan di mana 35 orang daripadanya ditarik balik tahanan parol mereka kerana melanggar perintah.
"Selain kekalkan sistem ini, kita juga akan meningkatkan program-program kesedaran untuk menyedarkan masyarakat agar tidak melakukan perbuatan yang membolehkan mereka dipenjarakan," katanya. - Bernama