SETELAH lama berteka-teki mengenai tarikh perkahwinannya, akhirnya aktres cantik Siti Saleha mendedahkan kepada pihak media majlis pernikahannya bakal berlangsung pada 28 Julai depan.
Walaupun tidak lagi berahsia mengenai tarikh hari bahagianya itu namun Saleha belum bersedia untuk mendedahkan lokasi pernikahannya buat masa ini.
“Alhamdulillah saya sudah mendapat lokasi untuk melangsungkan perkahwinan dan sudah ada tarikh, pada 28 Julai ini. Manakala majlis resepsi diadakan di lokasi lain pada keesokannya.
“Majlis pihak lelaki pula akan diadakan seminggu selepas nikah. Kami memang mahu buat majlis pada tarikh dekat supaya mudah saudara mara yang yang jauh datang,” kata adik Sam Bunkface ini merujuk laporan mStar.
Jika diperhatikan trend terkini di kalangan selebriti, mereka tidak mengalu-alukan kedatangan media untuk membuat liputan di hari bahagia mereka, namun Saleha berbeza pendapat dalam isu tersebut.
“Saya tak kisah jika ada media yang mahu membuat liputan pada majlis itu, namun saya akan berbincang dahulu dengan bakal suami. Saya takut jika dia tidak selesa pula kerana dia bukan selebriti,” jelasnya lagi.
Saleha bertunang dengan pegawai kerajaan yang dikenali sebagai Lufti Azhar pada November tahun lalu setelah setahun berkenalan rapat. –Kedahnews.com