Skuad PPBN Bawah-15 Uji Kemampuan Di Itali


KUALA LUMPUR – Skuad Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bawah 15 tahun (B-15) akan berentap dengan Mexico, Croatia dan Austria dalam Kumpulan B di Kejohanan Antara Negara (Torneo Delle Naziono 2017).

Skuad negara buat julung kali dijemput menyertai kejohanan itu yang memasuki edisi ke 14 penganjurannya, sekali gus membawa cabaran benua Asia selain Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut kenyataan PPBN semalam, anak buah Lim Teong Kim itu bertemu Mexico semalam (8 malam waktu Malaysia), disusuli perlawanan menentang Austria pada 26 April dan aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Croatia pada 27 April.

Kumpulan A terdiri tuan rumah Itali, UAE, Jepun dan Portugal manakala Kumpulan C dibarisi Slovenia, England, Rusia dan Amerika Syarikat.

Pasukan muda negara ke kejohanan itu dibarisi pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di bawah program pembangunan bola sepak yang diketuai Teong Kim dan turut dibantu penolong jurulatih Raja Azlan Shah Raja Sho’ib.

Mengikut format kejohanan, johan dan satu pasukan di tempat kedua terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir.

Untuk rekod, skuad berkenaan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja B-13 Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada 2015. – BERNAMA