Suami Isteri Maut, 2 Anak Cedera Kemalangan 2 Lori


NIBONG TEBAL – Sepasang suami isteri maut selepas lori yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori lain di KM154.9 Lebuhraya Utara Selatan, Sungai Bakap di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, dua anak perempuan pasangan berkenaan yang turut berada dalam lori tersebut cedera selepas tersepit di dalam kenderaan yang remuk akibat kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafee Abdul Samad berkata pemandu lori, Khosim Ismail, 32, dan isterinya Khairunnisa Ahmad Kamaluddin, 31, masing-masing berasal dari Felda Lepar Utara 3 di Jerantut, Pahang maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

“Anak mereka Khairiyah Alisha,10, mengalami kecederaan tulang keting kiri dan kanan hancur dan adiknya Khaira Amni, 17 bulan, pula patah paha kanan,” katanya di sini semalam.

Katanya kemalangan itu dipercayai berlaku selepas Khosim gagal memberhentikan kenderaannya ketika berlaku kesesakan di laluan berkenaan sebelum melanggar belakang lori yang berada di lorong kecemasan.

Shafee berkata semasa kejadian kedua-dua lori itu dalam perjalanan ke arah utara dan kenderaan yang dilanggar berkenaan berhenti di lorong kecemasan kerana pemandunya menjawab pangilan telefon daripada majikan.

“Lori yang dipandu mangsa membawa muatan sabun dan dalam perjalanan menghantar barang itu di Pulau Pinang manakala sebuah lagi lori membawa alat kosmetik untuk dihantar kepada pembekal di Kedah,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat manakala kedua-dua anak mereka turut dirawat di hospital sama dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya pemandu sebuah lagi lori, Amir Muaz Kamsani, 25, hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu anggota keluarga Khosim, yang mahu dikenali sebagai Razak, 40-an berkata mereka mengetahui mengenai kemalangan selepas anggota polis datang ke rumah keluarga Khosim di Felda Lepas Utara 3 malam tadi memaklumkan sepupu dan isterinya kemalangan di Pulau Pinang.

“Saya dan beberapa anggota keluarga yang lain terus datang ke sini untuk membawa balik jenazah suami isteri itu ke kampung halaman untuk dikebumikan manakala dua anak arwah turut dibawa balik untuk rawatan di sana,” katanya ditemui di bilik mayat HSJ. – BERNAMA