Syazwan kini hanya mampu terbaring dan hanya bergantung hidup dengan ibunya Siti Hapsiah serta ahli keluarganya yang lain selepas terlibat kemalangan jalan raya pada Februari lalu. |
KULIM - Seorang remaja berusia 17 tahun yang terlantar akibat kemalangan pada Februari lalu memerlukan bantuan untuk keperluan hariannya.
Ibunya, Siti Hapsiah Ismail, 39, berkata, anak sulungnya, Mohamad Syazwan Hashim kini terlantar sakit selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa bulan lalu.
Menurutnya, anaknya itu tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri dan hanya meneruskan hidup dengan meminum susu khas melalui tiub yang ditebuk di bahagian abdomennya.
"Lepas kemalangan, dua bulan Syazwan masuk hospital untuk dapatkan rawatan dan pastikan dia stabil.
"Tempurung kepala Syazwan terpaksa dikeluarkan sehinggalah dia disahkan alami masalah otak tak berfungsi. Sekarang dia terbaring saja dan diuruskan keluarga," katanya.
Siti Hapsiah berkata, walaupun keadaan anaknya kini tidak seperti dahulu, dia sekeluarga tidak pernah berhenti berdoa dan memberi semangat kepada Syazwan untuk terus kuat.
“Setiap hari saya, suami dan adik-adik Syazwan selalu bercakap dengan dia untuk terus bagi semangat supaya dia pulih secepat mungkin," katanya.
Katanya, anaknya dahulu seorang yang ramah.
"Dia juga rajin tolong saya berniaga di depan rumah.
"Saya bimbang sesuatu terjadi pada dia. Nanti siapa nak uruskan dia? Saya harap Syazwan dapat urus diri sendiri," katanya.
Tambahnya, sebagai alternatif dia juga berusaha membuat rawatan fisioterapi setiap hari terhadap Syazwan untuk membantu memulihkan keadaannya.
“Setiap hari saya tak akan lupa untuk buat fisioterapi terhadap Syazwan untuk bantu dia sembuh cepat.
“Setakat ini baru beberapa minggu keluar wad Syazwan ada sikit perubahan, dia dah boleh buat mimik muka sakit dan senyum, kalau kita sentuh tapak kaki pun dia bertindak balas seakan geli,” katanya.
Tambahnya, Syazwan akan bertemu pakar otak pada 3 Mei ini untuk menentukan sama ada bahagian otaknya boleh disembuhkan atau tidak.
“Dengan keadaan Syazwan saya yakin dan berdoa agar otak dia mampu dipulihkan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada remaja ini boleh menghubungi Siti Hapsiah di talian 011-12450018.
Sumber: Sinar Harian