Syria Sah Serangan Israel Di Lapangan Terbang Damsyik


DAMSYIK – Tentera Syria pada Khamis mengesahkan serangan berhampiran lapangan terbang antarabangsa di sini dilakukan tentera Israel yang menyasarkan kedudukan tentera Syria.

Agensi berita China Xinhua memetik laporan televisyen negara itu melaporkan, Israel melepaskan beberapa peluru berpandu menyasarkan satu kedudukan tentera di barat daya lapangan terbang.

Ia menyebabkan berlaku beberapa letupan dan kebakaran, memetik tentera Syria. Serangan itu merupakan percubaan terdesak untuk menaikkan semula semangat kumpulan pengganas.

Namun, serangan itu tidak akan menghalang tentera Syria daripada terus berusaha memerangi keganasan.

Ia bukanlah serangan pertama Israel di Syria kerana baru-baru negara itu telah menyerang kedudukan tentera Syria yang menyasarkan pangkalan tentera di wilayah Qunaitera di bahagian selatan dan di bandar Palmyra. – BERNAMA