Tak Menang Tangan Jual Ikan Pekasam


KUANTAN – Ikan segar menjadi keistimewaan ikan pekasam yang dihasilkan warga emas, Rahmah Mat Ripin, 70, sehingga dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Pengalaman 13 tahun menjadi kelebihan kepada Rahmah menghasilkan ikan pekasam yang memenuhi cita rasa pelanggan.

Walaupun usia sudah lanjut, nenek kepada 32 cucu itu masih berupaya menjalankan perniagaan itu sambil dibantu anak perempuannya, Fadilah Hanom Subuh, 37, di bengkelnya di Kampung Paya Rambutan, di sini.

“Bagi jaga kualiti ikan pekasam, saya hanya guna ikan segar dibekalkan nelayan darat di Kampung Paya Rambutan dan Paya Bungor yang menangkap ikan dengan jaring dan jala di lebih 20 tasik semula jadi sekitar kawasan ini.

“Lebih 15 jenis ikan air tawar seperti lampam, temperas, loma, kerai, sebarau dan terbun dijadikan pekasam. Saya turut guna patin, tilapia, haruan dan toman jika mendapat permintaan pelanggan,” kata ibu kepada 12 anak itu.

Rahmah berkata, selepas menjalani proses menyiang dan mencuci kotoran, ikan perlu diperam bersama beras goreng dalam bekas selama dua minggu.

Katanya, penyediaan ikan pekasam di Utara tanah air berbeza jika dibandingkan di Pantai Timur kerana ikan pekasam yang terkenal di Kedah, Perak dan Perlis hanya diperam menggunakan beras goreng saja.

Manakala di wilayah Pantai Timur, pengusaha ikan pekasam biasanya turut menggunakan campuran garam atau asam keping sebagai perisa tambahan.

Katanya, setiap bulan dia mampu menjual antara 100 hingga 150 kilogram ikan pekasam yang dijual pada harga RM16 sekilogram bergantung kepada jenis ikan dan saiz.

Sumber: myMetro