Tan Cheng Hoe Mengaku Kecewa


PENGENDALI Kedah, Tan Cheng Hoe mengakui kecewa dengan insiden kekasaran yang berlaku terhadap pemain skuad hijau kuning ketika menerima kunjungan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Sabtu lalu.

Dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, dua pemain pertahanan Kedah dibalut dibahagian kepala selepas dikasari pemain pelawat.

Dua pemain tersebut ialah penjaring gol pasukan tuan rumah Zachary Anderson dan rakan pertahanan, Syawal Nordin.

"Saya kecewa dengan corak permainan malam ini kerana lawan lebih menggunakan siku sehingga menyebabkan kecederaan dua pemain, kepala mereka terpaksa dibalut untuk menghentikan pendarahan.

"Tetapi saya berpuas hati dan gembira dengan kesungguhan dan usaha yang dipamerkan semua pemain sepanjang perlawanan itu. Mereka berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah.

"Walaupun kita ketinggalan, namun Zachary Anderson berjaya menyamakan kedudukan selain memastikan kita tidak bolos lagi," katanya.

Cheng Hoe menambah, corak permainan PKNS telah diramal dan berikutan itu pemain diberi peringatan sebelum permainan.

Jelasnya, lawan dapat melakukan serangan balas dengan cepat dan inilah cara mereka untuk mendapatkan gol selain memberi tekanan menerusi pemain berpengalaman yang ada.

"Masa yang ada kini akan digunakan untuk merawat kecederaan pemain selain membaiki beberapa kelemahan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

"Saya yakin, dengan kemampuan yang ada kita akan dapat kembali ke persada Liga Super pada perlawanan seterusnya. Kita akan berusaha sebaik mungkin.

"Semangat yang ada pada pemain Kedah tidak perlu diragui lagi kerana mereka juga mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dan tampil sebagai pendahulu liga," tegasnya.

Sumber: mStar