Tanah TOL Di Bkt Pinang: Kerajaan Negeri Perlu Beri Geran Tanah?


ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Pinang, Romaini Wan Salin tidak berpuas hati berhubung pengambil alihan tanah milik kerajaan berstatus TOL yang kini didiami oleh 16 keluarga di Kampung Baru di Bukit Pinang.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri perlu memberikan geran hak milik tanah kepada penduduk di kampung berkenaan dengan alasan mereka sudah tinggal di situ lebih dari 50 tahun.

"Tanah TOL patutnya sekarang ini Kerajaan (Negeri) kena bagi geran. Sekarang ini tanah TOL hanya untuk bayar cukai sahaja.

"Sepatutnya pada fasa pertama di sebelah sana, mengapa Kerajaan (Negeri) boleh beri geran? Tiba-tiba sekarang ini penduduk di sebelah sini bagi TOL. Sepatutnya di sambung, fasa kedua bagi geran, takdak masalah," kata beliau dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah ditangguh, di sini hari ini.

Kata Romaini, beliau yakin bahawa tindakan Kerajaan Negeri enggan memberikan geran hak milik tanah kepada 16 penduduk di kampung berkenaan adalah kerana kepentingan tertentu berdasarkan kedudukannya yang baik.

Tegas beliau, prosedur tanah berstatus TOL milik Kerajaan Negeri perlu diberi kepada penduduk yang tinggal di tanah tersebut selepas membayar cukai tanah itu selepas 3 hingga 4 tahun.

"Tapi oleh kerana ada kepentingan tertentu kerajaan mahu mengambil tanah di situ, sebab tempat di situ nampak tempat yang baik, tempat yang dari segi kos yang mahal...

"Saya amat kesal sebab Kerajaan (Negeri) patut mengutamakan fasa kedua kena bagi geran pada mereka sebab mereka sudah bayar, duduk di situ 50 tahun lebih. Prosedurnya bila kita bagi geran dan bayar TOL untuk 4 tahun atau 3 tahun, kerajaan kena bagi geran," tegasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyerbu masuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah sejurus persidangan dewan selesai dengan tujuan menyerahkan memorandum bantahan penduduk terhadap pengambilan tanah tersebut.

Difahamkan, projek berkenaan telah diluluskan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi tujuan pembinaan taman perumahan rakyat yang bakal dimajukan oleh Permodalan Kedah Berhad (PKB).

Isu tercetus apabila segelintir penduduk kampung berkenaan membantah projek berkenaan ekoran kolam kumbahan yang mahu dibina di tapak rumah mereka dan mencadangkan supaya ia dibina di tanah bersebelahan yang lebih rendah kedudukannya.

Sementara itu, sumber dalaman PKB menjelaskan bahawa mereka telah menawarkan pampasan hak milik tanah sebidang tanah berkeluasan lebih 3,800 kaki, sebuah rumah yang lengkap prasarana jalan raya dan sebagainya, namun ditolak. -Kedahnews.com