Tayar Basikal Tercabut Di Langkawi Tidak Bantut Misi


KUALA PERLIS – Pengalaman tayar belakang basikal tercabut semasa berkayuh di Langkawi tidak membantutkan misi kayuhan pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rashid untuk meneruskan ekspedisi Kayuhan Solo ‘Dari Masjid Ku Menjelajah’.

Khairil Aslan, 42, tiba di Terminal Feri Kuala Perlis di sini pada 11.30 pagi semalam dari Langkawi berkata, tayar basikal beliau tercabut semasa dalam perjalanan ke Masjid Al-Ittihad dari Ayer Hangat, Langkawi kelmarin.

“Saya bernasib baik kerana tayar basikal tercabut semasa saya sudah melepasi pintu gerbang kawasan masjid. Jika ia tercabut semasa menuruni laluan bukit yang curam sebelum tiba di masjid itu, saya tidak tahu apa nasib saya, syukur sangat kerana Allah melindungi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Terminal Feri Kuala Perlis di sini semalam.

Ketibaan beliau yang menaiki feri dari Langkawi disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Abdul Jamil Saad.

Walaupun kepenatan, Khairil Aslan berkata beliau berjaya menamatkan kayuhan sejauh 70 kilometer di pulau legenda itu.

Di negeri ini, beliau akan berehat dan beriktikaf di Masjid Al-Hussain di sini atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong sebagai Masjid Terapung sebelum meneruskan kayuhan ke Kedah bermula 8.30 pagi, hari ini.

Beliau bercadang untuk singgah di masjid sekitar Alor Setar sebelum meneruskan kayuhan ke Sungai Petani kemudian ke Grik, Perak dan Jeli, Kelantan.

“Saya perlu mengumpul tenaga di sini sebelum bergerak ke Sungai Petani melalui kawasan Baling sebelum ke Grik.

“Pendakian di situ (Grik) cukup panjang kerana perlu melalui bukit yang agak bahaya. Namun, jika saya berjaya melepasi pendakian itu, saya rasa tidak ada masalah untuk saya ke pantai timur meredah persisiran pantai ke Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau memilih masjid sebagai tempat persinggahannya sepanjang ekspedisi yang bermula 16 April lepas sebagai usaha untuk mendekati masyarakat setempat khususnya golongan belia di samping berkongsi pengalaman sebagai pendaki dan pengayuh basikal secara solo.

Katanya kayuhan ini juga adalah latihan bagi menguatkan stamina beliau sebelum menyertai Ekspedisi Solo Semenanjung Malaysia Berbasikal dan Mendaki selama 67 hari bermula Jun ini sempena kemerdekaan negara yang ke-60.

Khairil Aslan yang berasal dari Batu Kurau, Perak, pernah menawan tiga puncak Himalaya iaitu Puncak Maru, Lobuche dan Island dalam tempoh 32 hari bermula 26 Nov 2015 serta mencipta rekod sebagai antara pendaki solo Asia yang melakukan ekspedisi di ketiga-tiga puncak itu pada musim sejuk.

Sementara itu, Abdul Jamil berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan Khairil Aslan ke Perlis bagi meneruskan misi kayuhan berkenaan.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri berharap lebih ramai anak muda mengikut jejak langkah Khairil Aslan dan kita mungkin akan berkolaborasi dengan beliau dalam menganjurkan aktiviti sihat dalam kalangan belia dan anak muda di Perlis,” katanya. – BERNAMA