TCH Tutup Mulut, Enggan Ulas Isu Surat Tawaran Rasmi FAM


ALOR SETAR - Tan Cheng Hoe dilaporkan enggan mengulas mengenai berhubung permintaan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang mahu beliau mengemukakan surat tawaran rasmi dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Penolong Jurulatih Kebangsaan.

Ketua Jurulatih Kedah itu berkata, beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung perkara berkenaan bagi menghormati semua pihak mengenainya.

"Saya tak mahu komen apa-apa buat masa ini," katanya memetik laporan mStar, di sini, hari ini.

Cheng Hoe sebelum ini mengesahkan telah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kedah dan memohon supaya KFA menamatkan kontraknya lebih awal dengan alasan telah menerima tawaran sebagai Penolong Jurulatih skuad kebangsaan.

Walau bagaimanapun, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam kenyataannya semalam menjelaskan bahawa Cheng Hoe perlu mengemukakan surat tawaran tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan mengenai permohonan pengendali Helang Merah itu.

Jelasnya, Cheng Hoe pada ketika ini masih lagi merupakan Ketua Jurulatih Kedah yang sah.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminudin Omar dalam kenyataannya tengahari tadi menyokong penuh kenyataan Ahmad Bashah dan menjelaskan pihak KFA telah menghantar surat jawapan awal kepada permintaan Cheng Hoe itu.

Katanya, kandungan surat berkenaan meminta Cheng Hoe supaya mengemukakan surat tawaran rasmi dari FAM bagi memudahkan KFA membuat pertimbangan sewajarnya berhubung masa depan beliau. -Kedahnews.com