KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai cara lain selain menangguhkan beberapa perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) pada bulan Julai dan Ogos ini sekiranya pasukan dan kelab masih enggan melepaskan pemain skuad 23 tahun negara (B-23).
Pengurus pasukan B-23, Datuk Wira Yusoff Mahadi bagaimanapun berkata keputusan hanya akan diambil selepas mengadakan perbincangan dengan pasukan terbabit minggu hadapan.
Skuad B-23 negara dijangka akan mengadakan latihan selama sebulan di luarnegara pada bulan Ramadan ini sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Kelayakan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) B-23 2018 bermula 19-23 Julai di Bangkok dan Sukan SEA Kuala Lumpur bermula 15-30 Ogos.
"Kita masih mencari penyelesaian terbaik untuk masalah ini. Jika pasukan tidak mahu melepaskan pemain, kita terpaksa membuat pindaan jadual Liga-M yang melibatkan beberapa perlawanan Liga Super, Liga Perdana dan Piala Malaysia untuk beri ruang kepada pemain membuat persediaan.
"Tetapi ini akan menyebabkan liga diheret sehingga bulan Disember berbanding jadual asal pada hujung Oktober, sekali gus menyebabkan pasukan kekurangan masa untuk persediaan pramusim kerana musim 2018 akan bermula hujung Januari,"katanya kepada Bernama.
Media semalam melaporkan bahawa beberapa pasukan dan kelab Liga-M tidak rela untuk melepaskan pemain mereka bagi membuat persediaan untuk kedua-dua kejohanan itu.
Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM bagaimanapun berharap pasukan negeri dan kelab yang terlibat akan melepaskan pemain untuk mengikuti latihan intensif di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee supaya perjalanan liga dan juga persediaan Sukan SEA tidak terjejas.
"Mungkin mereka berasa agak keberatan kerana mungkin ada sebanyak tiga atau empat pemain yang terlibat. Buat masa ini sebanyak senarai panjang 40 pemain disenarai panjang, tetapi dalam masa terdekat kita akan senarai pendek sebanya 30 pemain sebelum memilih 25 pemain sebelum latihan di luar negara.
"Kita sebenarnya menghadapi kekangan masa kerana hanya mempunyai sebulan lebih sahaja untuk latih dan bentuk pemain bersama. Pada bulan puasa kita mungkin akan ke Australia dan tidak dapat ke Korea Selatan kerana mereka ada perancangan lain," katanya.
Bagi Kelayakan Kejohanan AFC B-23, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama tuan rumah kumpulan tersebut Thailand, Indonesia dan Mongolia untuk merebut slot ke pusingan akhir kejohanan di China dari 9-27 Jan tahun depan.
Malaysia perlu mempamerkan prestasi memberangsangkan ke atas kedua-dua jaguh Asia Tenggara itu kerana hanya 20 daripada 40 pasukan akan layak ke pusingan akhir, iaitu 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik serta tuan rumah China. -Bernama