TH Serah Zakat Lebih RM600,000 Kepada MAIPs


ARAU – Lembaga Tabung Haji (TH) semalam menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM600,527.89 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Istana Negeri, di sini.

Penyerahan zakat itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Majlis itu turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Badlisyah berkata jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH pada 2016 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69 peratus kepada RM60.3 juta berbanding RM59.3 juta pada tahun sebelumnya.

Selain itu, katanya, TH juga akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara menerusi Program Iqra’; Program Ehsan; Program Baiti dan Program Mobiliti, katanya. – BERNAMA