TMJ Ingatkan Bekas CEO, Pahang Pernah Tewas 6-0


KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Pahang FC, Fahrizal Hasan bahawa Pahang pernah dibelasah 6-0 di laman sendiri.

Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, perlawanan tersebut tertulis dalam buku sejarah Pahang sebagai kekalahan paling teruk di laman sendiri dan nyaris menyebabkan pasukan tersebut tersingkir ke liga bawah.

“Alhamdullillah Tengku Muda Pahang telah meletakkan kembali Pahang sebagai salah satu kuasa besar bola sepak di Malaysia. Bola sepak Malaysia memerlukan pasukan kuat seperti Pahang, Kedah, Selangor, Kelantan dan Felda.

“Ianya bagus untuk bola sepak kita. Jadi, kepada bekas CEO tersebut, lain kali bila nak bercakap tentang orang lain, cermin muka sendiri terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tunku Ismail berkata demikian ekoran tidak berpuas hati dengan kenyataan lima patah perkataan `Sibuk bodek sampai kena belasah” oleh Fahrizal di Twitter.

Kenyataan itu dianggap menyindir ada individu yang sibuk membodek orang atasan dalam FAM sehingga pasukan Melaka United kalah teruk.

Melaka United mencatatkan kekalahan memalukan apabila tewas 7-0 kepada JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Larkin baru-baru ini.

Kemenangan besar JDT itu sekali gus memberi harapan besar buat bola sepak Johor memintas Pahang dan Kedah bagi mendahului carta Liga Super sekiranya berjaya mengalahkan Kelantan di Kota Bahru, Kelantan Rabu ini. –Kedahnews.com