Tugas Berat Sediakan Warkah Khat Pertabalan Agong


KUALA LUMPUR – Walaupun telah tiga kali menggalas tugas menyediakan lambaran watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong, cabaran berat tetap terasa ketika kali ini penulis kaligrafi khat Abdul Baki Abu Bakar diberi tanggungjawab serupa untuk pertabalan Sultan Muhammad V.

Sabar, tekun dan teliti adalah antara cabaran yang tetap dirasakan untuk menghasilkan seni kaligrafi khat jawi yang indah, halus dan berkualiti tinggi, apalagi bila diminta menghasilkannya pada kepingan kulit kambing.

“Penulisan khat di atas kulit kambing (tidak seperti di atas kertas) adalah sukar kerana tekstur yang agak licin seperti berminyak dan berbintik-bintik.

“Inilah cabaran utama,” kata Pengarah Galeri Diwani Kraf itu yang berpengalaman menghasilkan watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak 2002.

Abdul Baki pernah memenangi pelbagai pertandingan seni kaligrafi khat peringkat antrabangsa antaranya di Algeria, Brunei, Turki dan Arab Saudi, dan pernah terpilih di antara 30 penulis khat terbaik dunia.

Dalam temu bual dengan Bernama, beliau menceritakan tanggungjawab berat yang digalasnya kali ini – menyiapkan penulisan khat watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V.

Istiadat Pertabalan itu akan berlangsung di Istana Negara pada 24 April ini.

Abdul Baki berkata, “Pihak Istana Negara hanya menyediakan enam kepingan kulit kambing berukuran 26x40cm dan 15 keping kertas khas berukuran 21x30cm untuk penulisan khat bagi istiadat pertabalan tersebut.

“Prosesnya amat sukar kerana saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan bagi setiap perkataan.

“Bagi mengelak perkara itu berlaku, saya menulis menggunakan pensil terlebih dahulu di atas kulit kambing sebelum menggunakan pen dan dakwat khas,” katanya. – BERNAMA