Tun M Kata Stadium Mini, Jalan Raya Di Pulau Tuba Dibina Dari Duit Haram?


ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penduduk Pulau Tuba menerima stadium mini dan jalan raya baru yang dibina dari duit haram.

Menulis di laman blognya baru-baru ini, Ketua Penaja PPBM Bahagian Langkawi itu menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan wang yang diperoleh dari syarikat 1MDB yang kononnya "tidak halal".

"Pulau Tuba akan dapat stadium mini dan jalan tar dari Najib kerana rancangan saya melawat pulau itu.

"Saya ucap berbanyak terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang sanggup kongsi dengan rakyat Malaysia duit yang diperolehi dari 1MDB, walaupun tidak halal," kata Mahathir, memetik tulisannya di blog berkenaan.

Bapa kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, itu sebelum ini mendakwa berlaku kehilangan wang di dalam syarikat 1MDB sebelum menukar dakwaan kepada "dicuri" oleh Mohd Najib.

Ekoran tuduhan tersebut, Perdana Menteri telah mengarahkan beberapa badan bebas seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tentang dakwaan itu.

Hasil dari siasatan semua agensi-agensi bebas berkenaan mendapati Mohd Najib langsung tidak mempunyai kesalahan sebagaimana yang dituduh dan Peguam Negara memutuskan tiada sebarang asas untuk mendakwa beliau di mahkamah.

Keputusan siasatan dari pihak berkuasa tersebut telah menyebabkan bekas Perdana Menteri itu marah dan memperhebat tuduhan terhadap Mohd Najib bersandarkan laporan dari portal yang diragui kesahihannya, Sarawak Report, yang turut menjadi sumber rujukan media antarabangsa yang dikatakan "proksi Yahudi" sebelum ini.

Bekas pengarang Sarawak Report, Lester Melanyi sebelum ini mendedahkan plot penipuan pemilik Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown, termasuk menulis artikel tidak benar berbentuk propaganda dan menyiarkan dokumen yang telah diubahsuai. -Kedahnews.com