UMNO Sabah Iktiraf Peranan Puteri UMNO – Musa Aman


SANDAKAN – UMNO Sabah mengiktiraf peranan Puteri UMNO sebagai salah satu sayap penting dalam perjuangan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata Puteri UMNO berperanan penting mendekati golongan muda menerusi program turun ke bawah berjumpa rakyat.

Justeru, katanya, UMNO Sabah memberi komitmen termasuk dari segi peruntukan kepada tiga sayap UMNO iaitu Puteri, Pemuda dan Wanita dalam melaksanakan program turun ke bawah mendekati rakyat sesuai dengan kehendak mereka.

“Saya memandang tinggi peranan Puteri bersama Pemuda dan Wanita UMNO. Kerjasama tiga sayap ini penting bagi UMNO menghadapi cabaran semasa termasuk dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika melancarkan Jentera Puteri UMNO Sabah di sini, semalam.

Musa berkata pilihan raya umum akan datang ini penting disebabkan cabaran dihadapi datang dalam pelbagai bentuk.

Beliau berkata semua pemimpin dan anggota UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri mesti berwaspada menghadapi cabaran itu termasuk kewujudan banyak parti pembangkang.

Menurutnya pendekatan diambil UMNO tidak lagi bertahan tetapi menyerang bagi mempertahankan apa yang diperjuangkan oleh parti dan kerajaan.

“Tidak perlu segan untuk mempertahankan apa yang telah diperjuangkan dan tindakan diambil kerana UMNO dan Barisan Nasional ada rekod baik dalam membela rakyat dan melaksanakan pembangunan.

“Kita berada di landasan yang benar dan acuan kita sesuai dengan perancangan masa depan,” kata Musa. – BERNAMA