Uniform Celoreng Digital Rai Hari TLDM Ke-83


KOTA KINABALU – Bermula semalam, semua anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencipta sejarah apabila secara rasmi menggunakan pakaian seragam celoreng digital.

Ia sempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-83, sekali gus menjadi uniform rasmi pasukan berkenaan untuk menggantikan tiga jenis pakaian seragam operasi yang telah diguna pakai sejak tahun 1983.

Majlis sambutan disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar di sini serta melancarkan penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur dan Barat.

Beliau yang juga Menteri Tugas-tugas Khas turut melawat Pusat Simulator Latihan di Markas Angkatan Kapal Selam TLDM selain melancarkan aplikasi terbaharu K3M (Kesedaran Keselamatan Komuniti Maritim) Wilayah Timur.


Acara julung kali itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pelatih Program Latihan Khidmat Negara selain pelajar Universiti Malaysia Sabah serta Rakan Komuniti Maritim yang terdiri daripada nelayan, pengusaha feri dan resort.

Turut hadir ialah Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Komander Kehormat Pasukan Sukarelawan TLDM, Datuk Seri Dr. Iromohizam Ibrahim yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Penggunaan pakaian seragam baharu berwarna kelabu itu turut mencipta sejarah apabila menjadikan ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki pakaian celoreng bercorak digital masing-masing.

“Ia adalah salah satu keunikan kerana sebelum ini kami mengenakan pakaian istiadat pada perbarisan sambutan hari ulang tahun tetapi tahun ini mula mengenakan pakaian celoreng digital,” kata Ahmad Kamarulzaman.


Untuk rekod pada 26 Ogos tahun lepas, TLDM melancarkan pakaian seragam operasinya yang bercorak celoreng digital itu bagi meningkatkan imej pasukan tersebut agar setanding dengan tentera laut di negara maju lain.

Malah uniform berkenaan menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1.4 juta pada peringkat permulaan kerana tiga jenis pakaian seragam telah digantikan dengan satu pakaian sahaja iaitu pakaian seragam bercorak celoreng digital.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamarulzaman berkata, pakaian seragam berkenaan bagaimanapun telah diagihkan secara berperingkat ke seluruh negara bagi memastikan tidak berlaku pembaziran terhadap pakaian operasi yang lama.

Selain itu, sempena sambutan tersebut ujarnya, pelbagai aset dan kapal TLDM juga akan dipamerkan kepada orang awam pada Hari Terbuka Armada di pangkalan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 April.

Beliau berkata TLDM juga menganjurkan program derma darah di beberapa lokasi di seluruh negara menerusi projek Jiwa Murni di samping pameran pertanian, hortikultur dan agro pertanian. – Agensi