UUM Singkir Siswa Terlibat Kumpulan Tidak Bermoral


JITRA – Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak akan berkompromi dan bakal mengambil tindakan dengan menyingkir mahasiswa pusat pengajian itu yang didapati menyertai kumpulan tidak bermoral seperti kongsi gelap dan samseng.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata pihak universiti mempunyai peraturan ketat yang perlu dipatuhi oleh mahasiswa bagi mengelakkan mereka terlibat dengan kegiatan termasuk kumpulan militan yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Ada kes yang mana pelajar universiti menjadi keldai dadah selain mempelajari ilmu berkaitan militan melalui laman media sosial. Kadang-kadang mereka sendiri tidak sedar perkara yang mereka lakukan itu salah.

“Kalau tidak dibendung kita bimbang ia akan menjadi lebih serius. Saya nasihatkan semua mahasiswa UUM supaya lebih berhati-hati sebelum menyertai mana-mana kumpulan atau aktiviti yang diadakan,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Program Kesukarelawan Mahasiswa UUM ke Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (V2i) di Taman Sinar Harapan (TSH) di sini.

Mohamed Mustafa yang juga Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) berkata pihaknya tidak menafikan agak sukar untuk mengawal segala aktiviti pelajar dalam penggunaan media sosial.

“Platform media sosial ini besar jadi susah nak kawal. Kalau pelajar tidak bijak menggunakan media sosial dengan betul kemungkinan untuk mereka terpengaruh dan terjebak dengan aktiviti jenayah tinggi,” katanya.

Tambahnya, daripada terlibat dengan kegiatan yang tidak mendatangkan kebaikan, mahasiswa digalakkan untuk menyertai aktiviti berfaedah seperti Sukarelawan Ke Institusi (V2i). – BERNAMA