Vida Dakwa Diganggu Lelaki Gatal Pelbagai Cara


PETALING JAYA - Tidak sampai dua minggu berstatus janda, pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman mendedahkan beliau mula didampingi ramai lelaki menerusi pelbagai cara.

Bagaimanapun menurut jutawan kosmetik yang lebih mesra disapa Datuk Seri Vida (DSV) itu, beliau dapat menghidu niat lelaki ‘hidung belang’ yang hanya mahu mengambil kesempatan di atas kekayaannya.

“Asam garam selepas bercerai lagi teruk kerana ramai yang nak menggatal. Saya kena kacau melalui pelbagai cara.

“Bosanlah macam ni. Mereka ingat saya ini apa (wanita yang bagaimana)? Tapi saya hanya berdiam diri dan tak perlu layan semua tu. Saya tahu mereka hanya nak duit,” katanya.

Ahli perniagaan itu ditemui pada majlis ulang tahun pertama Tonton VIP di mana beliau dilantik sebagai Ratu Tonton selama setahun.

Vida, 46, dan bekas suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin, 39 disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Ipoh pada 7 April lalu.

Rumah tangga yang dibina pasangan itu sejak bernikah pada Januari 2014 runtuh selepas tiga tahun.

Selain itu tambah Vida, beliau kecewa apabila kisah penceraiannya turut dijadikan bahan jenaka hingga tular di media sosial.

Malah Vida turut berkongsi satu mesej yang tular melalui aplikasi WhatsApp hingga sampai ke pengetahuannya.

“Mereka viralkan mesej begini. Siapa nak jadi kaya, banyak duit dan jadi jutawan, ada tips mudah serta cepat. Bukan skim cepat kaya bukan MLM, tak perlu jual produk dan tak perlu cari downline, hanya perlu bersabar. Tunggu tiga bulan sahaja, lepas tiga bulan habis iddah cepat pinang DSV,” demikian menurut Vida.

Ditanya sama ada beliau serik untuk terus mencari pasangan hidup selepas tiga kali gagal dalam perkahwinan, Vida bagaimanapun memberitahu lebih selesa hidup bersendirian bersama dua anaknya pada masa ini.

“Buat masa ini tak payahlah (cari pasangan). Hidup sorang lebih baik. Kalau terbuka hati pun saya akan cari yang sekutu (setaraf) atau lebih,” katanya sambil ketawa.

Sumber: mStar