VIDEO: Walau Bukan Ketua Jurulatih, Ia Tetap Satu Penghormatan - TCH


ALOR SETAR - Meskipun tidak ditawarkan sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menganggap tawaran yang diterima dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Penolong Ketua Jurulatih merupakan satu penghargaan buat dirinya.

Walau bagaimanapun katanya, beliau perlu menunggu keputusan dari pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) secara rasmi untuk menyahut cabaran baru mengendalikan skuad kebanggaan negara itu.

"Walaupun bukan sebagai Ketua Jurulatih, saya rasa itu merupakan satu penghormatan kepada saya.

"Bagaimanapun, bila tarikh saya melapor diri di FAM belum dapat saya berikan kerana saya masih perlu mendapatkan respons daripada pengurusan tertinggi KFA," jelas beliau sejurus mengadakan pertemuan Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, petang semalam.

Mengulas mengenai pertemuan empat mata dengan Menteri Besar itu, beliau memberitahu reaksi Ahmad Bashah yang menyatakan kegembiraannya melihat seorang anak Kedah yang terpilih untuk menabur jasa dalam sukan bola sepak negara.

"Memang Menteri Besar rasa gembira juga kerana ada orang Kedah dapat membantu skuad kebangsaan, tapi pada masa yang sama beliau mengingatkan saya supaya memastikan tugas untuk melatih pemain Kedah dijalankan dengan baik," katanya.

Cheng Hoe pada 1 April lalu telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kedah dan memohon KFA supaya mempertimbang untuk menamatkan kontrak beliau lebih awal pada 3 April.

Namun begitu, Ahmad Bashah dalam satu kenyataan meminta supaya Cheng Hoe mengemukakan "hitam putih" surat tawaran rasmi dari FAM sebelum pengurusan KFA membuat sebarang keputusan mengenainya.

Cheng Hoe menjelaskan bahawa surat tawaran sebagai Penolong Jurulatih Kebangsaan dari FAM telah diterima pada 5 April lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, pada 6 April.

Kunjungan hormat Cheng Hoe ke atas Ahmad Bashah berlangsung kira-kira 15 minit di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini, bagi memaklumkan secara rasmi pelantikan beliau sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan.

Cheng Hoe berkata dalam perjumpaan tersebut, Ahmad Bashah menyatakan kegembiraannya kerana ada rakyat Kedah yang dapat melatih pasukan kebangsaan, namun pada masa sama bimbang dengan prestasi skuad Helang Merah selepas ini, setelah ketiadaan beliau.

Pengendali skuad Kedah itu berkata, ia keputusan yang amat sukar untuk meninggalkan tugas sebagai Ketua Jurulatih Kedah, namun ada tugas berat yang perlu dipikul bagi mengangkat semula prestasi pasukan Harimau Malaya di arena bola sepak dunia.

"Cabaran di peringkat kebangsaan lebih besar dan bukan senang untuk mendapat sokongan daripada penyokong. Jadi ini akan menjadi tugas saya apabila berkhidmat dengan FAM nanti," ujar beliau. - Kedahnews.com