Wanita PAN Mahu Penjawat Awam Bersalah Rasuah Dihukum Mati?


KUALA LUMPUR – Wanita Parti Amanah Negara (PAN) tidak bersetuju penjawat awam yang terlibat dalam rasuah ditukarkan ke kementerian lain.

Ketuanya, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, penjawat awam yang didapati terlibat dalam kes rasuah sepatutnya disingkirkan terus daripada perkhidmatan awam dan dipenjarakan.

Beliau malah mengingatkan seluruh rakyat negara ini bahawa sesetengah negara lain mengenakan hukuman mati ke atas penjawat awam yang didapati salah terlibat dalam rasuah.

“Sewajarnya, jika golongan yang terlibat dengan rasuah ini adalah dari Kementerian Pertahahan, hukuman lebih keras patut dijatuhkan terhadap pesalah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 24 Februari lalu meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian melulu berhubung penahanan seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan seorang Staf Sarjan kerana disyaki terlibat rasuah.

Beliau berkata prosedur undang-undang sedia ada perlu dijalankan seperti biasa dalam menangani kes berkenaan dan ia tidak perlu dikaitkan dengan kes-kes lain.

Pada Khamis, pegawai tentera berumur 57 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Temerloh, Pahang kerana didakwa menerima suapan daripada kontraktor-kontraktor proksi termasuk syarikat milik ayahnya. – Kedahnews.com