Warga Emas Ditemui Mati Dalam Kereta


KUANTAN – Seorang warga emas ditemui mati di dalam kereta miliknya di tempat letak kereta kawasan perniagaan Bandar Lama Lipis dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata mangsa yang dikenali sebagai Loh Poh Keong, 86, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam pada pukul 11.30 pagi.

“Mangsa dipercayai rebah di tempat duduk penumpang hadapan. Kereta mangsa tidak berkunci dan orang awam yang menemui mangsa memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa,” katanya semasa dihubungi di sini, semalam.

Azry Akmar berkata mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Menurutnya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA