Warga Emas Hadapi 2 Pertuduhan Menipu Wang Pelaburan


ALOR SETAR – Seorang warga emas semalam didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan penipuan wang pelaburan membabitkan dana emas Raja-Raja Melayu pada November tahun lalu dan Januari lepas.

Tertuduh Jemain Yatim, 60, yang berasal dari Kampung Sinaran Baru, Kempas, Johor bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Othman.

Pertuduhan pertama, Jemain antara 30 Nov 2016, pukul 8.28 malam hingga 29 Dis 2016 pukul 11.38 pagi, didakwa dengan curangnya menipu Abdul Halim Mohd Noor, 62, membabitkan wang kutipan daripada pelabur bagi dana berkenaan berjumlah RM13,050 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB tertuduh di sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, Jemain antara 2 Jan 2017, 12.03 tengah hari hingga 11 Feb 2017 pukul 3.57 petang dengan curang telah menipu mangsa yang sama membabitkan wang kutipan daripada pelabur untuk dana tersebut sebanyak RM63,150 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB tertuduh di sini.

Atas dua pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Noor Farah Hazwani kemudiannya membenarkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan kes disebut semula pada 16 Mei depan untuk penyerahan dokumen dan melantik peguam.

Sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail mencadangkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dikenakan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kedua-dua kes kerana ia membabitkan isu kerabat diraja dan usaha mencari tertuduh sehingga terpaksa menggunakan media. – BERNAMA