ALOR SETAR - Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menafikan lelaki miripnya yang dilihat bercumbu dengan seorang gadis di dalam beberapa keping gambar yang tular di media sosial baru-baru ini adalah dirinya.
Zairil dalam satu kenyataan kepada media semalam mendakwa tuduhan yang cuba mengaitkan dirinya dengan gambar-gambar hangat tersebut merupakan satu tindakan fitnah menerusi serangan berbentuk peribadi.
"Bukan, itu bukan saya. Ia jelas satu lagi percubaan untuk memfitnah saya dengan serangan peribadi.
"Ia adalah palsu," kata Zairil, memetik laporan media pro-pembangkang, Malaysiakini.
Beberapa keping gambar baru-baru ini tular di media sosial mempamerkan aksi seorang lelaki yang dikatakan mirip Zairil sedang bercumbu dengan seorang wanita yang dikatakan mirip kepada calon DAP pada PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.
Dyana walau bagaimanapun dalam reaksi awalnya berhubung gambar-gambar panas itu tidak mengesah atau menafikan diri, sebaliknya menyelar penularan gambar tersebut sebagai gangguan kepada privasi peribadi.
Insiden tular membabitkan aksi lelaki dan wanita yang dikatakan mirip Zairil dan Dyana Sofya ini merupakan kali ketiga berlaku dan menggemparkan netizen di negara ini.
Sebelum ini, tersebar beberapa keping gambar "terlajak mesra" pasangan mirip kepada dua pemimpin muda DAP itu, namun dinafikan.
Kemudian buat kali kedua, tersebar pula dua set rakaman video yang dikaitkan dengan mereka berdua, dan turut dinafikan oleh kedua-dua pemimpin "Melayu" DAP tersebut. - Kedahnews.com