1,425 Usahawan Tube Berjaya Dilahirkan


SUNGAI PETANI – Seramai 1,425 usahawan berjaya dilahirkan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) SME Corp seluruh negara sejak ia diperkenalkan pada 2014 di mana 98 daripadanya dari Kedah dan 150 dari Zon Utara.

Pengarah Bahagian  Perniagaan Bumiputera SME Corp Malaysia, Mohd Izham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,862 peluang pekerjaan diwujudkan dalam pelbagai bidang antaranya perkhidmatan, agrobiz dan perkilangan.

Menurutnya, Program Tube direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan agar mempunyai daya tahan dari segi mental dan fizikal selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan sebenar.

“Ia dijalankan menerusi tiga fasa di mana fasa pertama perlu mengikuti latihan asas ala ketenteraan berkonsepkan bootcamp, fasa kedua didedahkan dengan lanskap perniagaan selain mempelajari acumenperniagaan termasuk perakaunan, pemasaran dan perkhidmatan.

“Manakala bagi fasa ketiga ialah menjalankan perniagaan sepertimana dibentangkan menerusi Rancangan Perniagaan, peserta juga dipantau selama 12 bulan melalui Sistem Buddy oleh kaunselor perniagaan bertujuan memastikan perniagaan TUBErs  berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ke Syarikat Euro Assyst Auto Care, Sungai Petani, semalam.

Mohd Izham bagaimanapun mensasarkan sebanyak 1,000 lagi usahawan Tube berjaya dilahirkan tahun ini di mana sasaran sebanyak 12,000 usahawan berjaya dilahirkan sehingga tahun 2021.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, program berkonsepkan bootcamp sepertimana yang dijalankan menerusi Tube itu cukup baik di mana modul berkenaan mewajibkan peserta melalui latihan ala ketenteraan yang boleh membina kekuatan mental dan fizikal.

“Ini yang saya telah katakan kepada SME Corp bahawa selepas ini kita mahu mencontohi apa yang Tube buat iaitu bagi training kursus  dan dana kepada usahawan muda seluruh Malaysia untuk diperkenalkan ke seluruh agensi dan kementerian,” katanya.

Beliau menjelaskan, SME Corp telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM11 juta untuk meneruskan lagi Program Mega Tube 2017.

“Melihat keberkesanannya, saya akan kembali untuk melihat bagaimana untuk kita salurkan RM11juta, tetapi kali ini skopnya diperluaskan.

“Maknanya SME Corp kena memperluaskan program ini bukan sahaja kepada peserta dalam program Tube tetapi Peserta 1 Azam, semua kementerian serta banyak agensi yang memberikan bantuan kepada usahawan,” katanya.

Sumber : Sinar Online