15 Suspek Beri Rasuah Bakal Dihadap Ke Mahkamah - SPRM


PUTRAJAYA - Hanya dalam tempoh 48 jam selepas melancarkan kempen anti rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melebarkan operasi di seluruh negara untuk menahan pemberi rasuah.

Lebih 15 individu dijangka dihadapkan ke mahkamah seluruh negara pada Jumaat kerana didakwa memberi rasuah.

Semuanya berlaku hanya dua hari selepas SPRM melancarkan kempen anti rasuah, Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) dan 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle).

Sebelum ini, beberapa kertas siasatan dibuka dan kebanyakan tindakan diambil terhadap penerima yang memegang jawatan tinggi dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi bertindak menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi.

Difahamkan kumpulan terkini yang melakukan perbuatan tidak berintegriti ini berusia antara 20 dan 50 tahun melibatkan kes di Selangor, Perak, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pahang.

Suspek termasuk kontraktor, ahli perniagaan, bekerja sendiri dan kakitangan sektor swasta.

Sumber berkata, suspek telah menawarkan rasuah kepada pegawai penguatkuasa seperti polis dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka berkaitan kesalahan trafik.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan sekumpulan pemberi rasuah akan dihadapkan ke mahkamah dalam tindakan terkini pihaknya.

Menurutnya, pemberi rasuah juga melakukan kesalahan dan sudah tiba masanya tiada yang akan terlepas daripada dikenakan tindakan melibatkan perbuatan itu.

"Kita perlu mendidik masyarakat bahawa rasuah perlu ditolak kerana ia satu kesalahan walaupun melibatkan kesalahan trafik.

"Peringatan mengenainya telah berulang kali dilakukan, sudah tiba masanya untuk berhenti melakukannya, jika tidak bersedia dikenakan tindakan," katanya.

Sumber: mStar