3 Exco PAS Selangor Wajar Sertai Mana-Mana Parti Dalam Pakatan - Mahfuz


ALOR SETAR - Tiga Exco PAS Selangor berhak membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti di dalam Pakatan Harapan bagi memastikan Kerajaan Negeri Selangor diperkukuhkan kembali selepas PAS memutuskan hubungan dengan PKR baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa ketiga-tiga Exco PAS itu layak dianggap berjiwa rakyat dan berjiwa Selangor sekira mereka memilih untuk berbuat demikian demi kepentingan kerajaan negeri.

"Situasi Politik di Selangor tiada pilihan bagi PAS selain menarik diri dari kerajaaan Selangor.

"Kecuali 3 Exco dari PAS berjiwa rakyat dan berjiwa Selangor, mereka mempunyai pilihan untuk menyertai mana-mana parti komponen Pakatan Harapan bagi memperkukuhkan kerajaan Selangor," kata Mahfuz menerusi kenyataan media, di sini hari ini.

Mahfuz menegaskan bahawa PAS tidak wajar membebankan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan mengosongkan tiga jawatan Exco itu selepas "bercerai" dengan PKR.

"Tidak sewajarnya PAS meletakan beban untuk mengosongkan kerusi Exco Kerajaan Negeri kepada Azmin. Bukannya Azmin dan PKR yang memutuskan hubungan tetapi sebaliknya PAS yang memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.

"Oleh itu tidak ada keperluan untuk Azmin nak minta Exco PAS meletakan jawatan.

"Janganlah  situasi di Selangor ini menjadikan rakyat melihat PAS tidak lebih dari ‘kartun politik’ yang tidak ketentuan hala," kata Mahfuz, menempelak partinya sendiri.

Kedudukan ketiga-tiga Exco PAS iaitu Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib di dalam kerajaan negeri Selangor mencetus tanda tanya apabila PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Difahamkan bahawa Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat pada Khamis ini bagi menentukan kedudukan mereka selepas timbul desakan dari pemimpin Pakatan Harapan untuk mereka meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Walau bagaimanapun, Azmin sehingga kini belum mengambil sebarang tindakan terhadap tiga Exco terbabit dan difahamkan beliau tidak akan berbuat demikian. - Kedahnews.com