40 Peniaga Diarah Pindah Tapak Bazar Ramadan Ke Stadium Darul Aman


ALOR SETAR - Kira-kira 40 peniaga di Bazar Ramadan Jalan Tunku Ibrahim akan dipindahkan ke Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, di sini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, keputusan itu diambil untuk memberi laluan kepada projek landskap dan laluan pejalan kaki di Bandaraya Alor Setar yang bernilai RM15 juta.

“Tapak bazar jualan pakaian berkhemah dan tanpa khemah di sepanjang laluan akan ditempatkan semula di pekarangan stadium.

“Peniaga makanan dan minuman juga tidak dibenarkan menjalankan perniagaan seperti dilakukan mereka ketika bulan puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Dewan Besar MBAS, di sini, semalam.

Menurut Mohd Zohdi, lebih 1,000 unit tapak bazar Ramadan disediakan kepada peniaga merangkumi makanan, minuman dan pakaian di kawasan stadium tersebut.

Beliau yakin gabungan perniagaan diletakkan di satu kawasan mampu merancakkan lagi perniagaan kerana semua pelanggan akan tertumpu di situ.

"Pembeli lebih mudah dapatkan barangan diingini memandangkan kedudukan lokasi yang strategik.

"Inisiatif ini membolehkan kontraktor dilantik MBAS melakukan kerja naik taraf laluan untuk projek landskap," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zohdi berkata, lebih 10 tapak bazar lain di bawah kelolaan pihak majlis seperti Taman Nuri dan Taman Wira, akan dikekalkan seperti biasa.

Menurutnya, pihak MBAS juga berpuas hati apabila tidak menerima aduan daripada peniaga berhubung isu tapak bazar Ramadan untuk bulan puasa tahun ini.

Katanya, sistem bidaan tapak niaga diperkenalkan mereka mendapat sambutan apabila mendapat bidaan tertinggi daripada peniaga iaitu RM3,000 untuk satu tapak.

Sumber : Sinar Online