6 Lagi Ditahan Terbabit Militan Daesh


KUALA LUMPUR – Polis telah memberkas enam orang warga tempatan iaitu masing-masing empat lelaki dan dua wanita kerana dipercayai terlibat militant Daesh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan di sini Rabu memberitahu bahawa mereka semua dicekup dalam operasi antara 24 Mac hingga 25 April di lima buah negeri.

Suspek terbabit berjaya ditahan oleh pasukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi berasingan di Kelantan, Selangor, Melaka, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kesemua disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIa – Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Tangkapan pertama pada 24 dan 24 Mac di Kelantan melibatkan dua lelaki berusia 26 dan 41 tahun yang bersubahat seludup senjata api dari selatan Thailand untuk kegunaan anggota Daesh di Malaysia.

Tangkapan kedua pula ialah pada 4 April di KLIA Sepang, Selangor melibatkan seorang wanita iaitu pelajar jurusan makmal perubatan di sebuah kolej awam di Lembah Klang yang berusia 26 tahun.

Dia berlepas ke Turki pada 29 Ogos 2016 untuk menyertai Daesh di Syria. Pada 20 April, seorang lelaki yang pernah menjadi militan Daesh di Syria namun kini penganggur berusia 41 tahun ditahan di Melaka.

Turut ditahan pada tarikh yang sama ialah seorang wanita berumur 32 tahun dan merupakan pembantu jurutera kilang di Johor aktif mempromosikan kegiatan Daesh menerusi aplikasi Google Plus.

Pada 25 April, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan di Pulau Pinang kerana aktif mempromosi Daesh di Facebook. Suspek juga merancang untuk lancar serangan di masjid syiah sekitar Pulau Pinang.

Dalam pada itu, seorang lagi suspek yang ditahan di Kelantan kerana menyeludup senjata api dari selatan Thailand dilaporkan berjaya meloloskan dirinya menyusup masuk ke negara jiran itu semula.

Suspek yang dikenali sebagai Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi dipercayai kembali ke sana dengan membawa bersama-samanya dua pucuk senjata api jenis M4 Carbine dan pistol.

Lelaki berusia 27 tahun itu beralamat terakhir di Kampung Gertak, Rantau Panjang, Kelantan telah ditahan dengan dua suspek lain yang dicekup masing-masing pada 23 dan 24 Mac lalu.

Khalid memberitahu, orang awam yang ada maklumat mengenai suspek tersebut diminta menghubungi Inspektor Mohd. Badri Othman menerusi 011-26924829. – Agensi