600 Motosikal Berkuasa Tinggi Berkampung Di Langkawi 12 Mei Ini

KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin bergambar bersama orang ramai pada sidang media sempena penganjuran Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Diraja Langkawi 2017 di Laman Padi, Langkawi, sebentar tadi. - Foto Hamzah Osman
LANGKAWI - Lebih 600 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara, Thailand dan Singapura, dijangka berkampung di pulau pelancongan ini sempena Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Diraja Langkawi 2017.

Festival tiga hari mulai 12 Mei ini akan turut mencipta sejarah apabila dijangka mencatat nama melalui Malaysia Book of Records (MBOR).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin, berkata festival julung kali itu bertujuan mengumpul pemilik motosikal berkuasa tinggi untuk berkongsi minat dan pengalaman, selain memupuk semangat setiakawan sesama mereka.

"Kita berhasrat menjadikan festival itu sebagai batu loncatan untuk melonjakkan nama pulau ini sebagai lokasi sukan permotoran baharu, setanding Minggu Motosikal Phuket yang sekian lama popular dalam kalangan peminat motosikal seluruh dunia.

"Persiapan rapi diadakan bagi membolehkan perhimpunan terbesar penunggang terbabit dimasukkan dalam MBOR dalam kategori himpunan pemilik motosikal berkuasa tinggi terbesar atas pulau di negara ini," katanya pada sidang media di Laman Padi di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Penasihat Kelab Motosikal Langkawi, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh dan Pengerusi Kelab Motosikal Besar Langkawi, Hairus Salleh Harith.

Azizan berkata, sepanjang festival itu pengunjung turut disajikan persembahan tatu bermotosikal, penampilan khas pelakon wanita aksi lagak ngeri, Ilia Iryani Shuib dan pertandingan peralatan motosikal serta persembahan hiburan oleh artis popular.

Sumber: BH Online