KUALA LUMPUR – 7-Eleven Malaysia Bhd (7-Eleven) menjadi peruncit pertama di Malaysia menerima pembayaran secara e-dompet Alipay dan menyasarkan lebih ramai pelancong China akan membeli barangan di rangkaian kedai serbaneka berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gary Brown berkata 7-Eleven mula menerima Alipay pada 12 Mei lepas dan 94 peratus daripada 2,100 premisnya telah melaksanakan sistem tersebut.
“Kesemua premis kami akan mula menggunakan Alipay dalam masa dua hari lagi. Di China misalnya, sistem pembayaran sedemikian menjadi saluran beli-belah dan kami berharap ia mendapat sambutan baik memandangkan ramai pelancong China berkunjung ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran e-dompet mudah alih Alipay di premis 7-Eleven Bukit Bintang di sini, semalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Tan Sri Vincent Tan yang juga pengasas Berjaya Corporation – syarikat yang menjadi pemegang majoriti 7-Eleven Malaysia.
Brown berkata usaha pemasangan sistem pembayaran itu tidak memerlukan modal tinggi kerana ia boleh beroperasi dengan terminal MOL sedia ada berikutan kerjasama strategik 7-Eleven dengan MOL Global Inc, penyedia teknologi khidmat pembayaran dalam premis.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Perniagaan Antarabangsa bagi syarikat induk Alipay, Ant Financial Services Group, Douglas Feagin berkata seramai 2.1 juta pelancong China mengunjungi Malaysia pada tahun lepas dan angka itu dijangka mencecah 3.5 juta orang pada 2017.
Menurutnya, selain sudah biasa dengan mekanisme pembayaran itu, Alipay juga membolehkan pelancong itu berurusan dengan peruncit di sini membabitkan jualan produk atau maklumat promosi semasa dan lokasi kedai serbaneka itu.
“Bilangan pelancong dan pedagang akan meningkat dan merancakkan aktiviti ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Tan yang juga pemegang majoriti MOL Global berkata di Thailand, pelancong China membelanjakan sehingga lima kali lebih banyak bagi setiap transaksi di kedai 7-Eleven secara e-dompet Alipay berbanding transaksi di kedai Malaysia.
“MOL akan menjadi rakan dagang penting bagi membolehkan Alipay mengenal pasti pedagang di dalam atau luar Berjaya Group dalam usaha memperluaskan penerimaan mekanisme pembayaran itu di sini.
“Kami akan turut meningkatkan jangkauan Alipay ke dalam pasaran Malaysia menerusi jalinan kerjasama dengan pedagang pelbagai industri.
“Rancangan seterusnya kami adalah untuk memperluaskan Alipay ke dalam syarikat-syarikat Berjaya Group itu sendiri,” katanya.
Berjaya Corporation merupakan kumpulan utama berasaskan pengguna menerusi kewujudan lebih 5,000 premis di seluruh negara mewakili jenama termasuk Starbucks, Wendy’s, Kenny Rogers, Radioshack dan Krispy Kreme. – BERNAMA