7 produk Kosmetik Dikesan Beracun

Noor-Hisham-Abdullah_makeu_6001

PUTRAJAYA: Sebanyak 7 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual iaitu Night Glowing, Night Glow, Glowing Speed Gold Day Cream, Glowing Speed Gold Night Cream, Qu Gebu AP Krim, Nour Ain Night Cream dan Royal Expert Whitening Cream.

Nama pemegang notifikasi bagi produk Night Glowing dan Night Glow adalah Ezzuriche Wellness; Glowing Speed Gold Day Cream, Glowing Speed Gold Night Cream (Babiez Glow Skincare); Qu Gebu AP Krim (Vida Beauty); Nour Ain Night Cream (Elsuhaz (M) Sdn. Bhd.) dan Royal Expert Whitening Cream (Ortus Experts Cosmetics Sdn. Bhd.)

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, racun-racun berjadual yang dikesan di dalam produk-produk berkenaan adalah merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Menurut Noor Hisham, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

“Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

“Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut.

“Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” jelasnya.

Noor Hisham menegaskan, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/

Sumber: Free Malaysia Today