7 Suspek Kes PSV Terbang Didakwa Esok


GEORGETOWN - Tujuh suspek kes manipulasi pembaharuan Lesen Pengangkutan Kenderaan Awam (PSV) Februari lalu, akan didakwa di tiga mahkamah di Pulau Pinang dan Perak esok. 

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Abd Aziz Aban, berkata seramai empat suspek akan didakwa di Mahkamah Georgetown, masing-masing dua doktor lelaki dan dua orang tengah. 

Dua doktor lelaki pula akan didakwa di Mahkamah Butterworth, manakala seorang doktor lelaki akan dituduh di Mahkamah Ipoh. 

"Pertuduhan ke atas seorang lagi suspek kes sama terpaksa ditangguhkan kerana dia kini sedang menjalani rawatan kanser di China," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah Peringkat Jabatan Pendidikan Pulau Pinang di sini, hari ini. 

Februari lalu, tujuh doktor, dua orang tengah dan seorang pembantu klinik direman selepas dipercayai terbabit dalam kes memanipulasi pembaharuan PSV di negeri ini, sejak 10 tahun lalu. 

Ketujuh-tujuh doktor terbabit didakwa menyalahgunakan profesion mereka dengan meluluskan borang permohonan pemeriksaan perubatan tanpa melakukan sebarang pemeriksaan terhadap pemandu terbabit. 

Semua suspek itu ditahan menerusi Operasi Cergas, membabitkan serbuan serentak terhadap tujuh klinik sekitar Bukit Mertajam, Batu Feringgi, Pekan Lama, Gelugor dan Prai, pada jam 3 petang.

Sumber : BH Online