KULIM - Sembilan penagih berjaya ditangkap dalam Ops Perdana yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kulim dan Bandar Baharu di kawasan Terap, pagi tadi.
Ketua Operasi, Sabarinah Aliuddin berkata, operasi yang disertai 15 anggota itu dimulai pada jam 9 pagi di sebuah rumah tidak siap dekat Kampung Bendang Sara.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan di kawasan tersebut terdapat dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an sedang melakukan aktiviti menghisap dadah di dalam rumah dan tidak sempat melarikan diri.
"Ketika serbuan dilakukan kita dapati dua lelaki sedang leka menghisap dadah dan tidak menyedari kehadiran anggota AADK.
"Kita berjaya menahan kedua mereka bersama perkakasan menghisap dan juga perkasasan memproses serta membungkus dadah di situ namun tidak menemui sebarang jenis dadah.
Antara alatan yang dipercayai digunakan untuk menghisap, memproses dan membungkus dadah yang turut ditemui di dalam rumah terbengkalai berkenaan.
"Kita percaya rumah terbabit telah menjadi sarang melepaskan gian dan melakukan aktiviti memproses serta membungkus dadah sejak enam bulan lalu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemilik rumah terbengkalai masih belum berjaya ditahan kerana ketika operasi dipercayai dia telah ke Serdang untuk mendapatkan rawatan methadone.
"Kita masih menunggu pemilik rumah ini yang telah mendapatkan rawatan methadone untuk tindakan lanjut,"katanya.
Selain itu, beliau berkata, lima lagi lelaki dipercayai penagih telah berjaya ditangkap di sekitar kawasan rumah terbabit yang datang untuk mendapatkan bekalan.
"Kita telah menunggu dan membuat tinjauan di kawasan tersebut, kita dapati beberapa lelaki menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah berkenaan dipercayai untuk mendapatkan bekalan.
"Apabila mereka ternampak kelibat anggota kami, mereka cuba untuk meloloskan diri namun berjaya dipatahkan dan ditangkap. Ada juga yang memberi alasan mahu mengambil buah nanas untuk dijual dan melakukan kerja membuat rumah di situ, untuk elak ditangkap,"katanya.
Tambahnya, hasil tinjauan di kawasan rumah terbengkalai itu juga terdapat hampir 250 benih anak pokok ketum yang ditanam dalam poli beg dipercayai bertujuan untuk dijual kepada pelanggan sekitar.
"Kita telah menemui anak pokok ketum yang disemai didalam poli beg di belakang rumah tersebut selain terdapat seekor anjing yang dirantai dipercayai untuk menjaga serta menakutkan orang luar kawasan itu," katanya.
Dalam pada itu, katanya dua lagi penagih telah ditahan di kawasan kediaman masing-masing apabila menerima aduan daripada keluarga mengenai aktiviti mereka.
"Kesemua mereka dibawa ke Pejabat AADK Kulim untuk melakukan ujian saringan air kencing jika didapati positif dadah mereka akan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1989.
"Dalam operasi ini juga kita telah berjaya menangkap beberapa orang dipercayai telah melanggar syarat orang kena pengawasan (OKP) dan akan didakwa di bawah Seksyen 6(2) Akta Penagih Dadah," katanya.
Sumber: Sinar Harian