Abdul Hadi Bertambah Baik Selepas Tamat Tempoh Kritikal


KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertambah baik selepas 24 jam tempoh kritikal berlalu.

Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Abdul Hadi mula bersuara dan menunjukkan tanda positif.

“Antara perkara pertama yang disebut kepada saya malam tadi ialah supaya menyampaikan salam kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau.

“Pagi ini juga, beliau telah mula menjamah makanan lembut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi selamat menjalani pembedahan peenggantian injap jantung di Institut Jantung Negara pagi Selasa.

Pihak IJN dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa pembedahan pemindahan injap yang memakan masa tiga jam berjalan mengikut jadual yang dirancang.

Pembedahan tersebut diakukan berikutan keadaan kesihatan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan semakin tidak mengizinkan akibat kebocoran pada injap jantung beliau.

IJN juga menyebut, lawatan pada peringkat ini masih dihadkan hanya kepada keluarga terdekat sahaja sehingga dimaklumkan sebaliknya nanti.

Hadi sebelum ini pernah dua kali dimasukkan ke IJN pada taahun lalu sekitar Januari dan Oktober.

Namun media melaporkan ia hanya sekadar rawatan susulan biasa yang dijadualkan oleh pakar. – Kedahnews.com