ABPBH 3.0: Nafi Kecewa, Neelofa Ada Sebab Balik Awal


TERDAPAT ura-ura mendakwa Neelofa pulang awal sebelum Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH 3.0) berakhir, baru-baru ini.

Tindakan itu didakwa telah menyebabkan ramai pihak membuat spekulasi bahawa aktres itu sebenarnya kecewa kerana tidak dapat mengulangi kejayaannya merangkul trofi Bintang Paling Popular seperti mana yang diperolehinya tahun lalu.

Namun begitu, bagi merungkai persoalan tersebut, Neelofa akhirnya bersuara memang betul dia pulang awal pada acara itu dan langsung tidak duduk di hadapan pentas bersama rakan-rakan artis yang lain.

Menurut Neelofa, dia ada sebab berbuat demikian dan ini merupakan komennya berhubung isu tersebut;

“Sebelum orang reka spekulasi yang bukan-bukan, sekali gus mencetuskan drama, lebih baik saya tidak ke depan.”

“Kebetulan saya datang lewat selepas lebih sejam acara bermula, jadi saya pun berada di belakang pentas hinggalah tugas saya selesai.  Memang saya langsung tidak jumpa sesiapa yang berada di depan pentas,” ujar bintang jelita ini memetik laporan BH Online.

Aktres dan hos berusia 28 tahun itu walau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperince apakah drama yang bakal tercetus sekiranya dia duduk di hadapan bersama rakan artis yang lain.

Pada ABPBH kali ini, Neelofa berjaya merangkul trofi Pengacara Paling Popular menewaskan nama-nama besar seperti Alif Satar, Zizan Razak, Nabil Ahmad dan Mira Filzah.

Sementara Bintang Paling Popular pula diraih oleh bekas teman tapi mesra Neelofa iaitu Fattah Amin. –Kedahnews.com