"Ada Dua Kad Sebab Nama Panjang"


BATU PAHAT - “Memang betul saya ada dua pengenalan diri. Tapi semua gara-gara kad pengenalan ketika itu mempunyai tempat nama yang terhad dan nama saya pula agak panjang. Jadi kad pengenalan saya hanya ada nama tanpa nama bapa."

Begitulah kisah Sharifah Nur'Insyirah Saifuddin Shah, pelajar perubatan yang kini sedang melanjutkan pengajiannya di Kursk State Medical University (KSMU), Rusia.

Menurut Nur'Insyirah, 25, untuk pengenalan nama penuh iaitu termasuk nama bapanya, dia terpaksa menunjukkan kad pengesahan nama.

"Saya selalu berdepan masalah kalau ada urusan rasmi termasuklah dengan Jabatan Imigresen. Bukan saja di Rusia, malah di Malaysia pun. 

"Mereka tak percaya kerana yang tertera di atas kad pengenalan hanyalah nama saya manakala nama ayah tak ada, dan saya perlu tunjukkan kad pengenalan tambahan (kad pengesahan nama) kalau untuk nama penuh iaitu berserta binti," katanya yang ditemui ketika pulang bercuti, baru-baru ini.

Nur'Insyirah berkata, dia sudah lali dengan situasi yang disebabkan oleh namanya. Apatah lagi, dia belum berkesempatan memperbaharui kad pengenalan lama kepada MyKad kerana sedang belajar di luar negara.

"Pengalaman pertama saya ialah ketika menduduki peperiksaan semasa di sekolah rendah lagi. Saya perlu isi dua borang kerana ruang nama yang disediakan tak cukup.

“Begitulah seterusnya, apabila saya melakukan urusan rasmi yang memerlukan saya mengisi borang yang berbeza dengan orang lain. Malah adakalanya saya perlukan masa yang agak lama untuk selesaikan setiap urusan.

"Paling saya tak boleh lupa ialah ketika urusan melanjutkan pengajian saya ke luar negara beberapa tahun lalu, di mana saya ditahan berjam-jam di Jabatan Imigresen untuk memastikan kebenaran yang saya mempunyai dua pengenalan diri,” katanya.

Begitu pun, kata anak tunggal ini, dia tidak terbeban kerana diberikan nama itu, malah berasa agak istimewa apabila mempunyai kelainan dari segi dokumen pengenalan diri yang dimilikinya.

Katanya, selain mengalami kesukaran dan sering dikatakan mempunyai dokumen palsu, kawan dan kenalan juga menganggap dia 'main-main'.

Namun apabila ditunjukkan dua pengenalan dimilikinya, barulah mereka percaya, dan kemudian akan mengajukan pelbagai soalan mengenainya.

“Ibu saya kata nama itu cukup indah. Sebab itulah ia diberikan untuk saya. Tiada sebab lain ibu dan abah berikan nama ini. 

“Mungkin juga saya ini anak tunggal mereka, sebab itulah mereka mahukan yang terbaik, begitu juga untuk nama saya,” katanya yang mesra dipanggil dengan nama Syira.

Selain panjang  nama juga unik 

Selain mempunyai aksara yang panjang, satu lagi keunikan pada nama Syira ini ialah, ia mempunyai tanda koma di antara perkataan Nur dan Insyirah, yang turut menjadi tarikan pada namanya.

Menurutnya, setiap orang yang ingin menyebut namanya, mereka akan berhenti seketika selepas menyebut perkataan Nur, dan kemudian barulah sebut Insyirah.

“Saya berbangga mempunyai nama yang unik ini, yang mana apabila nama saya disebut sahaja, pasti ramai yang akan bertanyakan betul ke ejaannya dan cara sebutan yang sebenarnya.

“Malah ketika kali pertama ketika saya mendaftarkan diri di KSMU ini juga, bahagian pendaftaran bertanya beberapa kali berkenaan nama saya, terutama nama penuh setelah ia tiada dalam kad pengenalan, berbeza dengan nama yang diisi di borang,” katanya.

Tidak sempat tukar  kad pengenalan

Menurutnya, dia telah beberapa kali mahu membuat kad pengenalan baharu yang mempunyai tempat nama lebih panjang, sekali gus menyelesaikan masalahnya, namun masa yang terhad dan sedang belajar di Rusia, membantutkan hasratnya itu.

Katanya, setelah habis pengajiannya dalam bidang kedoktoran pada tahun ini, dia akan terus menukar kad pengenalan miliknya, selain menyatakan hasrat untuk menyimpan kad pengenalan sedia ada sebagai kenangan.

“Saya dimaklumkan, kad pengenalan negara Malaysia kini mempunyai ciri tersendiri mampu menyimpan nama yang panjang, dan saya perlu menukarnya apabila balik ke Malaysia nanti.

“Namun saya akan mohon pihak yang berkenaan untuk menyimpan kad pengenalan yang sedia ada sebagai kenangan walaupun ia tidak lagi boleh digunakan untuk tujuan rasmi," katanya.

MyKad baharu miliki simpanan data lebih besar

Sementara itu, Unit Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika dihubungi berkata, penggunaan dua kad iaitu kad pengenalan dan satu lagi kad pengesahan nama adalah satu prosedur biasa jika nama seseorang individu itu agak panjang dan melebihi jumlah ditetapkan.

Bagaimanapun menurut jurucakapnya, ia hanya tertakluk pada kad pengenalan lama kerana MyKad baharu mempunyai sistem penyimpanan pada cip dan jumlah had tulisan pula sebanyak 80 aksara.

“Jika dahulu memang pihak JPN akan memberi kad tambahan untuk pengesahan nama penuh si pemegang kad. Namun MyKad baharu kini dilengkapi cip yang boleh mengisi data lebih banyak daripada jenis lama.

“Malah setakat ini tiada penggunaan dua kad membabitkan MyKad, yang ada hanyalah kad sampingan untuk memaparkan data yang tidak dapat disimpan pada MyKad,” katanya.

Sehubungan itu, JPN menasihatkan orang ramai terutama yang masih menggunakan kad pengenalan lama supaya mengemas kini kepada Mykad baharu di cawangan terdekat bagi memudahkan segala urusan rasmi.

“Orang awam yang ingin mendapatkan sebarang maklumat berkaitan JPN boleh melayari laman sesawang rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di talian 03–8880 7077 atau emel pro@jpn.gov.my,” katanya.

Sumber : Sinar Online