AFC Tetapkan Malaysia Perlu Main Di Pyongyang


SETELAH Malaysia menempuh detik perit ketegangan hubungan diplomatik dengan Korea Utara beberapa bulan lalu, nampaknya kali ini negara ini seolah-olah tiada pilihan dalam mengharungi cabaran kejohanan bola sepak Piala Asia.

Ketika Semenanjung Korea ketika ini cemas dengan aksi provokasi rejim komunis pimpinan Kim Jong-un yang nekad mahu menyerang jirannya di selatan, skuad Harimau Malaysia pula akan ‘bertandang’ ke Pyongyang.

Mungkin masih segar lagi dalam ingatan rakyat bagaimana Korea Utara ‘buat gila’ tahan diplomat Malaysia di ibu negara itu termasuk dengan keluarganya ekoran kes pembunuhan abang tiri diktator rejim itu, Kim Jong-nam.

Walaupun kejadian hampir dua bulan menggegarkan antarabangsa itu sudah selesai apabila mayat diserahkan kembali tanpa sebarang insiden tidak diingini… namun siapa boleh jangka ‘kegilaan’ Korea Utara yang seterusnya.

Tindakan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan perlawanan sulung kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara diadakan di Pyongyang pada 8 Jun depan menimbulkan kecurigaan baharu.

Macam mana jika pemain bola sepak kita pula ditahan keluar jika tiba-tiba berlaku perang antara Korea Utara yang pastinya dibantu oleh jiran sekutunya, China menentang Korea Selatan dilindungi Amerika Syarikat dan Jepun?

Menurut kenyataan dikeluarkan AFC malam Isnin, keputusan itu dibuat selepas mendapat pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa kerajaan tidak mengenakan larangan memasuki negara tersebut.

Keputusan dramatik tersebut bagaimanapun berbeza dengan pendirian FAM sebelum ini yang tetap bertegas mahu perlawanan berkenaan diadakan di gelanggang berkecuali sebagaimana isu perlawanan Malaysia-Palestin.

Dalam mesyuarat pada 25 April lalu, keputusan FAM untuk tidak beraksi di Pyongyang dibuat selepas mengambil maklum akan pandangan serta ulasan daripada pihak Kementerian Luar ekoran kes pembunuhan Jong-nam.

Ketika itu, Wisma Putra menilai tahap ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara boleh mencetuskan isu keselamatan kepada pasukan bola sepak negara sendiri jika terkandas atau terperangkap di negara tersebut.

Malah FAM berkata keputusan itu juga akan dibawa maklum kepada AFC untuk tindakan selanjutnya. Namun Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) memutuskan untuk tidak mengemukakan cadangan venue berkecuali.

Sebaliknya badan sukan kebangsaan rejim komunis tersebut menghantar surat kepada AFC bagi mengekalkan sahaja Pyongyang sebagai venue perlawanan pertama itu dengan memberi jaminan keselamatan kepada Malaysia.

Pertemuan Malaysia dan Korea Utara sepatutnya dilangsungkan pada 28 Mac lepas tetapi terpaksa ditangguhkan hampir tiga bulan atas permintaan pihak FAM yang mahu ia diadakan pula di sebuah gelanggang berkecuali.

Ia berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara Asia tersebut selepas pembunuhan Jong Nam secara misteri di Lapangan Terbangan Antarabangsa KL 2, Sepang, Selangor pada 13 Februari lepas.

Apa yang pasti, keputusan terbaharu AFC ini sudah tentu mengejutkan ramai pihak terutama penyokong bola sepak tempatan sendiri sambil berharap tiada insiden tidak diingini berlaku di Pyongyang. – Agensi