Agensi Keselamatan Thai Waspada Laporan Malaysia


BANGKOK – Agensi keselamatan Thailand diarah supaya berwaspada dan terus memantau rapi keadaan berikutan satu laporan berhubung seorang rakyat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh telah menyusup masuk ke selatan Thailand.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mejar Jen. Kongcheep Tantravanich dalam satu kenyataan berkata, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Jeneral Prawit Wongsuwon telah meminta agensi perisikan untuk bertukar-tukar maklumat dan mengesahkan laporan itu.

“Beliau (Prawit) menugaskan Tentera Wilayah 4 dan Polis Diraja Thai agar berjaga-jaga dan memantau keadaan dengan rapi,” katanya semalam sambil menambah bahawa Thailand masih belum dimaklumkan oleh Malaysia mengenai laporan berhubung warganegaranya yang mempunyai kaitan dengan Daesh telah menyusup masuk ke selatan Thailand.

Kongcheep meminta orang ramai agar yakin dengan kerajaan dan agensi-agensi keselamatannya dalam menjaga keselamatan negara ini daripada sebarang ancaman.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan mengumumkan penangkapan empat lelaki dan dua wanita kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata seorang lelaki, Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi dari Rantau Panjang, Kelantan telah melarikan diri dengan menyusup masuk ke selatan Thailand dan membawa dua senjata api jenis M-4 Carbine dan pistol. – BERNAMA