Ahli Sukan Pertama Miliki 100 Juta Pengikut Instagram


PUTRAJAYA – Bintang bola sepak kacak, Cristiano Ronaldo muncul sebagai ahli sukan pertama di dunia yang berjaya memecahkan rekod sebagai paling ramai pengikut menerusi laman sosial Instagram.

Pemain berasal dari Portugal dan kini beraksi untuk kelab terkenal Real Madrid di Sepanyol itu disahkan memiliki lebih 100 juta pengikut melalui akaun rasmi beliau iaitu cristiano yang kini mengandungi sejumlah 1,786 posting.

Ronaldo turut menjadi individu kelima selepas Beyonce, Taylor Swift, Ariana Grande dan Selena Gomez apabila mampu menerima 100 juta follower menerusi Instagram yang sebelum ini hanya dibarisi oleh artis popular Barat.


Ini percapaian terbaharu beliau selepas muncul Pemain Tahunan Dunia pada  awal tahun ini selain penerima Ballon d’Or atau anugerah pemain terbaik dunia sebanyak empat kali anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Rekod jumlah pengikut Instagram itu dikemas kini firma penarafan awam antarabangsa, Burson Marsteller yang berpangkalan di Brussels, Belgium dan banyak melakukan kajian perangkaan sejak ditubuhkan pada 1965 lalu.

Ronaldo, 32, turut mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama di dunia yang mempunyai lebih 120 juta pengikut menerusi akaun peribadi Facebook miliknya, menurut laporan oleh firma Mashable pada 5 Mei lalu.

Populariti Ronaldo di alam maya memang tidak dapat dinafikan sesiapa pun malahan foto-foto memaparkan aksi dirinya di atas lapangan selain kehidupan peribadi sentiasa mendapat liputan luas ramai netizen seluruh dunia.


Antara posting paling popular ialah foto beliau duduk santai di kereta mewah Bugatti pada 21 Februari lalu yang mencapai angka tanda suka luar biasa apabila digemari lebih 3.9 juta peminatnya. – Agensi