BIARPUN tidak berjaya merangkul sebarang anugerah yang dipertandingkan, penyanyi Aiman Tino tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai peluntur semangat untuk dia terus berkarya.
Malah kata penyanyi lagu Permata Cinta ini lagi, dia sering meletakkan soal populariti di tempat kedua kerana apa yang lebih penting ialah tawaran persembahan yang diterimanya tidak pernah putus.
"Terpulanglah apa persepsi orang nak kata saya ni dah tak popular atau apa, asalkan show 'masyuk' (masuk) itu dah cukup buat saya rasa bersyukur.
"Popular itu bonus dan seandainya ia bukan milik saya sekarang, bermakna itu bukan rezeki saya dan siapa pula saya untuk mempertikaikannya?" Kataya kepada mStar Online.
Sementara itu, Aiman atau Aiman Yusri Ishak mengakui dia kini harus mengambil setiap peluang yang ada agar terus relevan dan mampu seiring di pentas seni.
Nafi cuba bersifat tamak, dia yang juga pernah pernah mengeluarkan produk kecantikan 'Sweet Aiman' bersama Wonder Glow Cosmetics (M) percaya setiap tawaran yang datang adalah rezeki yang tidak seharusnya ditolak.
Di satu sisi, dia tidak menafikan adakala sering kepenatan kerana semakin sibuk menjayakan urusan seni yang tidak pernah putus sejak namanya mula mendapat perhatian dalam muzik arus perdana.
"Penat memang penat sehingga pernah beberapa kali saya menyuarakan perkara itu kepada ayah namun lazimnya kepenatan itu akan hilang dengan sendiri setelah saya bertemu dan menghiburkan peminat di pentas," katanya.
Berkongsi perkembangan seni pula, Aiman yang bakal menerbitkan single ketiga berjudul Ku Hanya Sayang Padamu meluahkan rasa syukur apabila lagu raya ciptaan ayahnya berjudul Lara Dalam Kerinduan berjaya mencecah lebih satu juta tontonan di YouTube seminggu selepas ianya dilancarkan pada 12 Mei lalu.
Sumber : Mstar Online