Air Bertakung Di Jalan, JKR Kubang Pasu Kaji Tanah

Jalan terbabit merupakan jalan utama yang digunakan penduduk kampung untuk ke Tanah Merah atau Bandar Darulaman.
JITRA - Kira-kira 2,000 penduduk kampung mukim Pelubang dan Wang Tepus terpaksa meredah air yang bertakung di atas jalan raya setiap kali hujan.

Jalan terbabit merupakan laluan utama digunakan penduduk kampung untuk ke Tanah Merah atau Bandar Darulaman dan masalah itu dipercayai berlarutan sejak 2005.

Seorang penduduk kampung, Norziana Md Isa, 42, berkata, walaupun dia merupakan penduduk asal kampung berkenaan, namun dia tetap berwaspada setiap kali melalui jalan terbabit.

“Setiap kali hujan, air bertakung. Lampu jalan pula tak ada jadi orang yang tidak biasa dengan jalan ni akan keliru mana satu parit, mana satu jalan raya.

“Mungkin yang berkereta agak selamat sikit, tapi yang naik motosikal memang kasihan. Pelajar yang nak ke sekolah pagi-pagi, basah lencun baju sekolah,” katanya, semalam.

Menurut Norziana, kadangkala hampir seminggu air hujan masih bertakung dan tidak surut.

“Makin teruk bila air belum surut, tapi esoknya hujan lagi. Jiran saya ada terlibat dalam kemalangan bila terbabas ke dalam parit di situ,”katanya.

Seorang peniaga, Md Isa Hamzah, 70, berkata, dia pernah terlibat dalam kemalangan minggu lalu di tempat sama apabila berlanggar dengan sebuah lagi motosikal ketika cuba mengelak takungan air di situ.

“Saya dalam perjalanan ke Bandar Darulaman untuk beli barang niaga. Nasib baik tak cedera teruk.

“Motor saya pernah tersadai di situ pasai enjin masuk air. Jadi saya harap pihak berwajib dapat selesaikan masalah jalan di kampung kami.

“Kasihan kami yang naik motor. Jalan ni pula dilalui lori pasir dan lori tanah yang keluar masuk dari beberapa kuari di sini,”katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PPBM Bahagian Kubang Pasu, Shafizan Taib berkata, sebelum ini Jabatan Kerja Raya (JKR) Kubang Pasu beberapa kali turun ke lokasi.

“Terbaru mereka ada mengorek parit di tepi jalan terbabit, tetapi cara tu juga tak berkesan. Mungkin sistem perparitan di situ kurang sistematik, sebab tiada jalan keluar untuk air mengalir.

“Saya harap, JKR atau ahli parlimen di kawasan ini prihatin dengan nasib penduduk kampung di sini. Jalan ini pula merupakan jalan utama kepada pengguna dari Jitra yang hendak ke Kuala Nerang dan Changlun,”katanya.

Pengerusi JKKK Kota Mengkuang, Muhamad Shukri Md Zain berkata,  isu air bertakung itu telah dibawa ke dalam program Dialog Bersama Jabatan yang dianjurkan Majlis Daerah Kubang Pasu pada minggu lalu.

“Wakil JKR Kubang Pasu menjelaskan mereka sekarang dalam proses kajian tanah setelah beberapa tindakan yang diambil sebelum ini tidak berkesan.

“Saya mewakili penduduk kampung sangat hargai usaha JKR dalam menyelesaikan masalah penduduk di sini.

"Namun, besarlah harapan kami sekiranya masalah berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian