Airmata Gembira 12 Asnaf Di Negeri Kedah

MAHDZIR (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim (tiga dari kiri) dan Ismail (empat dari kiri) beramah mesra bersama keluarga Nor Rahmah (dua dari kanan) selepas Majlis Penyerahan Baiti Jannati peringkat Kedah di Kampung Kubang Juluk, Naka. - Foto Sharul Hafiz Zam
PADANG TERAP - Keperitan ibu tunggal mendiami rumah usang bersama lima anaknya di Kampung Kubang Juluk di sini, berakhir apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) membina rumah baharu menerusi projek Rumah Baiti Jannati.

Nor Rohmah Abdul Rahman, 37, adalah antara 12 asnaf terpilih menerima rumah menerusi projek Baiti Jannati di seluruh Kedah membabitkan Baling, Pendang, Alor Setar, Kuala Ketil, Sik, Serdang dan Kuala Nerang.

Nor Rohmah berkata, kesempitan hidup membuatkannya menumpang teduh di rumah pusaka bapanya walaupun dalam keadaan serba kekurangan, termasuk dinding reput dan bumbungnya bocor.

"Setiap kali hujan, barangan dalam rumah pasti basah terkena tempias dan kami perlu meletak baldi di sana sini bagi menadah hujan.

"Selepas ditinggalkan suami ketika mengandungkan anak bongsu, saya mengambil upah mencari daun pisang bagi menyara keluarga.

"Saya membuat permohonan membina rumah dan tidak sangka ia diterima," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Baiti Jannati peringkat Kedah di Kampung Kubang Juluk, Naka di sini, kelmarin.

Penyerahan dilakukan Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Nor Rohmah berkata, rumah baharu mereka amat selesa bagi beliau membesarkan anak berusia antara tujuh bulan sehingga 14 tahun.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Kedah, Ismail Lathifi Teh, berkata rumah berkenaan dilengkapi ruang tamu, tiga bilik tidur dan satu bilik air.

"Sejak 2008, TNB memperuntukkan RM2.76 juta untuk membina 47 rumah kepada asnaf terpilih di seluruh negeri," katanya.

Sumber: BH Online