Alasan Tak Kuat Punca Gelanggang Berkecuali Tidak Dibenarkan - AFC


PETALING JAYA - Keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menetapkan Pyongyang kekal sebagai lokasi perlawanan pusingan kelayakan Kumpulan B Piala Asia 2019 mengundang rasa kurang senang dalam kalangan peminat Harimau Malaya.

Ada segelintir penyokong menyifatkan keputusan itu sebagai berat sebelah dan dilihat sengaja menafikan rayuan Malaysia.

Namun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul menegaskan keputusan itu dibuat kerana alasan Malaysia untuk menukar gelanggang asal tidak cukup kuat kerana tidak menepati tiga sebab yang termaktub dalam peruntukan undang-undang badan induk berkenaan.

Beliau berkata, tiga sebab yang membolehkan perlawanan itu ditukar ke gelanggang berkecuali adalah lokasi digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) atau AFC seperti Yemen, Syria, Iraq dan Afghanistan, stadium tidak mengikut piawaian dan sekatan perjalanan.

"Dalam kes ini, kerajaan Malaysia hanya tidak menggalakkan Harimau Malaya untuk ke Korea Utara susulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.

"Tiada sekatan perjalanan dikeluarkan setakat ini. Jadi buat masa ini gelanggang kekal di Pyongyang," katanya.

Bagaimanapun, Windsor berkata skuad Harimau Malaya masih boleh beraksi di gelanggang berkecuali jika kerajaan Malaysia mengeluarkan sekatan perjalanan ke Korea Utara selepas ini.

"Jika kerajaan keluarkan surat larangan, jadi kita akan buat keputusan mengenai gelanggang berkecuali," katanya.

Jelas beliau, AFC sudah menerima surat rayuan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Isnin lalu dan sedang meneliti permohonan tersebut.

"Namun perlu diingat kita sudah tunda perlawanan itu atas permintaan FAM kerana kerajaan mengarahkan pemain tidak berkunjung ke Korea Utara gara-gara krisis diplomatik kedua-dua negara," katanya.

Ketika ditanya bila keputusan mengenai rayuan FAM akan diketahui, Windsor bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Tak pasti," katanya ringkas.

Pada Khamis, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membantah perlawanan itu diadakan di Pyongyang kerana bimbang dengan tahap keselamatan pasukan Harimau Malaya.

Keputusan AFC itu meletakkan FAM dalam keadaan serba salah untuk menghantar Harimau Malaya ke Korea Utara yang berada dalam keadaan geopolitik tidak menentu ketika ini.

Tunku Ismail bagaimanapun menyerahkan kepada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

Sumber: mStar