“Allah Umpamakan Golongan Ini Sebagai Pemakan Bangkai Yang Busuk"


ALOR SETAR - Bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat, dalam satu kenyataan mengumpamakan pihak yang melemparkan fitnah terhadapnya seperti pemakan bangkai yang busuk.

Menurutnya, golongan tersebut tanpa rasa malu dan bersalah bertindak mempergunakan namanya untuk melemparkan fitnah, beliau turut memohon agar individu yang terlibat segera bertaubat dan menginsafi perbuatannya itu.

"Tanda kiamat. Mereka ini tanpa segan silu, tanpa rasa berdosa membuat dan mereka-reka fitnah. Sanggup mereka guna nama ambe (saya) utk (untuk) mengadu domba.

"Dosa mereka ini berpanjangan setiap kali disebar diviral. Insaflah dan bertaubatlah. Allah umpamakan golongan ini sebagai pemakan bangkai yang busuk," katanya.

Beliau menyatakan kekecewaan tersebut dalam satu kenyataannya yang dimuatnaik di laman sosial media Facebook miliknya baru-baru ini.

Sebelum ini, Satiful dikaitkan dengan satu mesej di aplikasi Whatsapp dimana kandungan mesej tersebut menghentam Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Isi kandungan kumpulan Whatsapp tersebut menunjukan perbicaraan antara Satiful bersama kepemimpinan parti itu di mana menyebut Hadi Awang sebenarnya terhutang budi dengan UMNO.

Initipati Whatsapp tersebut juga turut menunjukkan bahawa wujudnya pergolakan di dalam PAS Terengganu dan ada menyebut Satiful sedang merancang suatu tindakan dan dalam usaha menghasut anggota-anggota PAS agar meninggalkan parti tersebut secara beramai-ramai.

Kandungan Whatsapp yang menjadi viral tersebut bagaimanapun dinafikan oleh Saitiful dan menolak dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya menghentam presiden parti Islam tersebut.-Kedahnews.com