Amil Perlu Lapor Jika Duit Zakat Hilang - LZNK

Amil zakat yang hadir pada majlis tersebut mendengar ucapan Nasri.
ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengingatkan amil zakat yang mengutip wang zakat tidak berdiam diri sekiranya berdepan situasi kehilangan kutipan wang zakat semasa dalam simpanan.

Pengurus Besar, Jabatan Dakwah dan Kutipan, Mohd Nasri Ghani berkata, mereka dinasihatkan melaporkan perkara itu kepada Zakat Kedah dan pihak polis.

Menurutnya, mereka perlu lapor, tak kira sama ada akibat kecurian, keciciran ataupun kecuaian sendiri sehingga mengakibatkan kehilangan wang zakat dalam simpanan mana-mana amil zakat terlibat.

“Kita ingin ingatkan, kegagalan amil melaporkan kehilangan wang zakat boleh menimbulkan prasangka bahawa mereka mungkin telah salah guna atau menyeleweng kutipan wang zakat untuk keperluan peribadi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Negeri Kedah bagi Tahun 1438H/2017M di Menara Zakat, di sini, semalam.

Jelasnya, tanggungjawab selaku amil zakat walaupun nampak mudah, sebenarnya adalah mencabar. Jadi, mereka hendaklah berniat kerana Allah SWT dan bukannya untuk mendapatkan upah amil, kesenangan duniawi ataupun kebendaan.

Katanya lagi, amil zakat perlu berpegang prinsip dan berlaku adil, jujur , dedikasi dan amanah dengan menghindarkan perbuatan khianat ketika jalankan tugas .

"Sistem zakat yang dilaksanakan telah banyak memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar kemiskinan apabila wang zakat diagihkan membantu asnaf fakir miskin dalam memenuhi keperluan asasi mereka," katanya.

Terdahulu, seramai 3,204 amil telah dilantik bagi 669 tempat mengutip zakat di seluruh Kedah, dengan 573 buah masjid di Kedah dan 96 buah tempat mengutip zakat oleh ejen yang dilantik oleh LZNK.

Sumber: Sinar Harian