Anwar Kata PAS Silap, PKR Sokong RUU 355?


KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam PAS kerana didakwa mengemukakan alasan tidak munasabah yang boleh menjejaskan reputasi PKR dalam memutuskan hubungan kedua-dua parti.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana kesalahan meliwat seorang lelaki lain mendakwa kononnya PAS membuat tohmahan yang tidak adil keatas PKR dalam perkara itu.

Beliau mendakwa PAS sepatutnya menyalahkan UMNO dalam isu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) dan bukannya menjadikan RUU 355 sebagai alasan untuk memutuskan kerjasama dengan PKR.

Anwar membayangkan PKR yang menyokong usaha PAS untuk meminda akta berkaitan Mahkamah Syariah selama ini, bukan UMNO.

“Saya musykil kerana alasan yang diberikan tidak tepat, terutama dalam kaitan dengan RUU355. Ternyata pimpinan PAS tidak meneliti kenyataan saya dan Presiden PKR (isteri Anwar) yang menghormati hak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kerajaan UMNO-BN tidak membawa RUU 355 sebagai urusan kerajaan yang bermakna RUU355 akan terkubur. Anehnya UMNO tidak dipersalahkan kali ini.

“Saya mengulangi kenyataan PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi walaupun ada pihak mentohmah PKR dengan tohmahan yang tidak adil dan tidak wajar,” tegasnya dalam satu kenyataan dari dalam penjara yang disiarkan biro komunikasi PKR semalam.

Anwar seterusnya berkata beliau percaya kedudukan kerajaan PKR Selangor dibawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan terjejas disebabkan oleh keputusan PAS tersebut.

Majlis Syura Ulama PAS baru-baru ini secara rasmi mengumumkan parti itu memutuskan kerjasama dengan PKR selepas menilai desakan ahlinya supaya PAS berbuat demikian dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Keputusan itu diambil selepas Majlis Syura Ulama PAS mengesahkan memang benar PKR banyak melanggar syarat-syarat Tahaluf Siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam termasuk menentang pembentangan RUU 355 di Parlimen.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan kerajaan Selangor kini ditadbir oleh sebuah `kerajaan rojak’ kerana pentadbirannya dibarisi pimpinan parti yang saling bermusuh iaitu DAP, PKR dan PAS.

Pada 8 April lalu, media melaporkan Anwar secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menyokong pembentangan RUU 355 oleh Presiden PAS selepas dua hari ia dibentangkan di Parlimen.

Anwar dalam kenyataa yang memeranjatkan ramai pihak itu mendakwa pembentangan RUU355 oleh PAS di Parlimen merupakan satu kejayaan dan semata-mata untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Kenyataan itu jelas bercanggah dengan realiti ramai Ahli Parlimen PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dengan lantang membantah pembentangan RUU 355 oleh Presiden PAS hingga menimbulkan kekecohan dan ketegangan di Parlimen.

Ramai pihak melihat kenyataan pusingan U 360 darjah Anwar waktu itu menyerlahkan lagi politik bermuka-muka dan hipokrit PKR yang boleh berubah nada dengan sekelip mata andai kepentingan politik mereka tergugat.

Ia ekoran kenyataan Anwar itu hanya dikeluarkan selepas partinya dikecam hebat umat Islam di media sosial kerana secara terang-terangan menentang usaha untuk memartabatkan undang-undang syariah di Malaysia di Parlimen.

RUU 355 bertujuan meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah termasuk meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas umat Islam yang berzina dan minum arak.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada mulanya berhasrat mengambil alih pembentangan RUU 355 daripada PAS, namun kemudian membuat keputusan memberi laluan kepada PAS berbuat demikian kerana usaha itu diterajui PAS dari awal.

Parti sekular DAP pula pernah mendakwa RUU355 merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hudud yang zalim, kuno dan tidak bertamadun di negara ini.

Difahamkan, PKR dan PAN pula pernah mendakwa RUU 355 tidak boleh dibenarkan kerana ia mengelirukan dan menimbulkan keresahan bukan Islam di Malaysia. –Kedahnews.com